Pujangga ada menyebut: لسان الحال اؤصح من لسان المقال, iaitu “Bahasa perbuatan itu adalah lebih fasih daripada bahasa percakapan.”
Kita semua mempunyai potensi untuk membuat perubahan dalam masyarakat dengan membuat perubahan dalam diri kita. Ini boleh disebut sebagai dakwah dengan perantaraan contoh tauladan yang baik.
Setiap seorang daripada anda mempunyai potensi menjadi pendakwah yang berjaya. Berdakwah tidak semestinya anda menyampaikan sesuatu, tetapi anda boleh mengajak manusia untuk memikirkan sesuatu. Inilah cara yang dilakukan Socrates sehingga beliau berjaya membuat perubahan besar dalam masyarakatnya. Beliau berkata: “Saya hanya tahu bahawa saya tidak tahu apa-apa.” Beliau mengajak masyarakat untuk berdialog dengannya untuk mengetahui kebenaran sesuatu itu. Seperti biasa, apabila seseorang manusia menyampaikan kebenaran iaitu antara lainnya membezakan yang manakah yang hak dan batil, illusi dan realiti, maka dia akan dibenci. Begitulah yang berlaku kepada Socrates, beliau dituduh memesongkan akhlak remaja dan dihukum untuk meminum racun sampai mati dan beliau melakukannya dengan sukarela.
Sekiranya anda ada seorang kawan yang berilmu tetapi beliau tidak dapat menghebahkan ilmunya kerana halangan-halangan kesibukan dunia, maka sekali-sekala ajaklah dia berbual tentang ilmu agama dan tanyakan apa yang anda tidak tahu. Anda bukan saja ‘mengembalikan’ ilmunya yang telah ‘lupa’, tapi anda juga dapat mendapat ilmu. Anda berdakwah kepadanya dan dia berdakwah kepada anda. Maka anda berdua sedang melakukan dakwah. Saya sering melakukan kaedah ini dan kami berbual seperti biasa seperti perbualan seharian. Maksud saya di sini, ilmu agama yang membawa kita mengenal mana yang palsu dan reliti, yang memberi bekas kepada jiwa anda untuk menjadi manusia yang ikhlas dan bersih sesuai dengan firman Allah bahawa Allah cinta kepada mereka yang berusaha membersihkan dirinya.
No comments:
Post a Comment