Malam kian melabuhkan tirainya. Sepi. Cuma sesekali kedengaran suara unggas sahut menyahut. Bintang-bintang malam bertaburan. Menghiasi dada langit. Indah dan berkerdipan. Di satu sudut penjuru, kelihatan seorang anak muda khusyuk menghadap kitab suci Al-Quran. Bacaan lenggok bayati dialun-alunkan. Merdu. Membuai jiwa dan perasaan. Bacaan Al-Quran mengembalikan ketenangan. Haikal cuba menghayati isi kandungan kalamullah itu. Ditadabburnya bersungguh-sungguh. Namun bacaannya terhenti. Bola matanya tertancap pada ayat itu. Diamatinya berkali-kali. Dadanya bergetar. Tidak keruan.
Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti dari memusuhi kamu maka tidak ada permusuhan lagi, kecuali terhadap orang-orang yang zalim. ( Al-Baqarah:193)
Ditutupnya kitab suci itu. Al-Furqan dicium lembut. Langkah diatur ke tingkap. Bayu padang pasir menerobos, menampar pipi. Sejuk dan mendamaikan. Namun gejolak di jiwanya kian membara. Jawapan perlu dicari. Keputusan harus dibuat. Haikal memejamkan matanya. Peristiwa di Masjid Hussin bagai diulang tayang. Masjid itu seolah-olah sudah sebati dengan jiwanya. Walaupun dia cuma dagangan yang hina di sini. Di bumi lembah Nil yang subur. Masjid Hussin kerap dikunjunginya . Malah bersolat jemaah di situ bagai satu kemestian. Dia sering bertafakkur, taabud jiwa taqarrub billah. Lantas Masjid Hussin menjadi saksi, saksi seorang insan yang mendamba cinta Ilahi. Namun munaqasyah bersama Syeikh Imam Ahmad petang tadi kembali mengocak ketenangan. Tawaran Syurga Firdausi menimbulkan persoalan.
Mengapa aku harus ragu? Mengapa tidak aku serahkan segala jiwa dan ragaku ke jalan Ilahi? Hati itu bersuara. Tapi bagaimana dengan ibu, abah malah adik-adik di kampung? Hatinya bersoal lagi. Haikal berkira-kira, menimbang-nimbang keputusan yang bakal dibuat.
Tidak! Tidak! Aku tidak akan kalah dengan bisikan nafsu dan syaitan. Sama sekali tidak! Lantas istighfar dilantun berkali-kali. Bisikan hati cuba ditepis. Dia bermujahadah. Demi Allah, dengan bersaksikan malam yang pekat dan bintang-bintang malam yang bergemerlapan indah, sesungguhnya hidupku dan matiku hanya keranaMu Ya Allah. Tegas sekali keputusan Haikal. Dan dia nekad, keputusan ini tidak akan berganjak, sama sekali tidak. Dibulatkan azam, dipejalkan tekad. Semangat yang tadinya luntur ditiup kembali. Keputusan yang wajar sudah dibuat.
***
Langkah dihayun selaju mungkin. Sesekali disekanya peluh jantan yang merenek, membasahi dahi. Mentari garang memancarkan sinarnya. Bumi Damanhour panas. Sementelahan musim sejuk berlalu pergi, musim panas silih berganti. Tidak seperti Malaysia. Bumi semenanjung Golden Chersone itu sentiasa dipayungi awan redup. Nyaman. Tidak sepanas ini. Namun kembara di bumi anbiyak perlu diteruskan. Cuaca bukan alasan. Ilmu perlu dicari, diburu malahan digali. Jika tidak masakan dia menjejakkan kakinya di jazirah Semenanjung Arab ini.
Dari jauh rumah sewa Amir menggamit pandangan. Rumah yang dikelilingi pohon kurma yang merendang tampak sederhana. Di kiri dan kanan Haikal, unta-unta setia menawarkan khidmat. Bebanan berat ditanggung tanpa sebarang karenah. Binatang itu cukup sabar. Dan Haikal kagum. Cukup kagum dengan binatang itu. Kenderaan? Kereta? Apalah yang ada di era 1948 ini. Tambahan pula di daerah Damanhour yang terpencil. Cuma sesekali kelihatan beberapa buah teksi yang berulang alik dari Kaherah. Itupun jarang.
Amir muncul dari dapur, menatang teh panas beserta roti dan zaitun.
”Minumlah Haikal, air bujang saja,” seloroh Amir.
Gurauan itu disambut dengan senyuman panjang. Aroma teh herba yang harum menerjah hidung. Pantas as-syai itu diteguknya. Lega rasanya. Rasa gembira tidak dapat dibendung lagi. Amir perlu diberitahu.
”Amir, aku ada hal sikit nak cakap dengan kau, aikal bersuara, memecah keheningan.”
Suapan roti dan zaitun terhenti. Amir memandang sahabatnya itu.
”Aku dah buat keputusan. Esok aku akan daftarkan nama di pejabat Jamiyatus Syubbanil Muslimin di Ramsis. Palestin bakal kujejaki. Biar kaki ini berdiri di Quds. Biar tangan ini menghancurkan Yahudi. Biar jiwa ini kunafkahkan ke jalan Ilahi. Lagipun jihad sudah diisytiharkan. Bayangkan aku akan bersama-sama Imam Syeikh Hassan Al-Banna beserta jemaah Ikhwanul Muslimin yang lain, membebaskan Palestin dari belenggu Yahudi yang dilaknat,” terang Haikal panjang lebar. Jelas dan nyata. Kegembiraan terpancar di wajahnya.
Mulut Amir terlopong. Matanya terbeliak. Tangannya diletakkan di dahi Haikal.
”Kau demam?” Amir bersuara kehairanan. Apa mimpi sahabatnya yang seorang ini. Tiba-tiba muncul membawa khabar yang tidak diduga.
”Tidak. Aku serius. Malah keputusan ini tidak akan berganjak!” Tegas sekali nada suara Haikal.
”Bodoh, kau memang bodoh. Kenapa susahkan diri? Biarkan Palestin dengan kisahnya. Yang penting kehidupan kita di bumi ini.” Amir bersuara kendur.
Haikal tersentak. Terkejut bukan kepalang. Tidak disangka kata-kata itu keluar daripada mulut sahabat baiknya, Amir. Kalau diikutkan nafsu amarahnya mahu sahaja ditampar mulut celupar itu. Namun Haikal sedar tiada gunanya mengikut rasa marah. Seperti menyiram minyak ke api yang marak. Dihela nafasnya. Cuba bersabar barangkali.
”Habis, sanggupkah kau melihat bumi Isra·dan mikraj itu diperkosa dan dinodai? Nyawa bagai tiada berharga. Umat Islam disembelih sewenang-wenangnya. Anak kehilangan ibu, isteri kehilangan suami. Palestin menjadi saksi, Yahudi sudah menunjukkan taringnya. Seolah-olah gah dengan kuasa yang ada. Kepada dunia ingin mereka buktikan, Perang Salib berulang kembali. Namun dengan keputusan yang berbeza. Seolah-olah kemenangan kini berpihak kepada mereka. Kehinaan ini perlu ditebus, maruah Islam harus dikembalikan.” Haikal menghela nafas. Sesekali air liur ditelannya.
”Tapi kita bukan bangsa Arab, Haikal. Kita orang melayu. Melayu jati, berkulit sawo matang. Persetankan apa yang terjadi. Biar bangsa Arab sendiri yang menyelamat keadaan. Itu bumi mereka,” Amir cuba menegakkan benang yang basah.
Haikal memandang Amir. Anak matanya tajam menikam iris sahabatnya itu.
”Betapa jangkalnya hujahmu itu. Kau cuba katakan dalam Islam wujud jurang pemisah, pembeza antara warna kulit, kaum dan bangsa. Sedangkan jelas, yang membezakan cuma taqwa. Arab, melayu sama sahaja. Sejarah dulu telah membuktikan pada tanggal 1187, bumi Palestin dibebaskan oleh Salahuddin Al-Ayubi dalam perang Hittin yang dahsyat. Sedangkan Salahuddin bukan berdarah arab Palestin. Beliau berketurunan kurdi, satu bangsa yang mendiami utara Iraq, sempadan Turki. Namun kenapa jiwa diperjudikan? Nyawa jadi taruhan? Pastinya kerana iman yang mendalam. Kerana bumi Palestin bumi kita. Bumi ummat Islam. Dan juga kerana penghinaan Yahudi yang melampau. Tapi..paling menyedihkan makam pejuang berjasa, pembebas Palestin dari taghut yang menggila itu dijijak dan dicaci oleh Lord Olenby. Ketua Pasukan Salibiah itu perlu diajar!” Haikal mengetap bibir, menahan marah.
”Amir, dalam surah Al-Baqarah ada menyebut sesungguhnya Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu, melainkan kamu mengikut millah mereka. Malahan dalam solat kita seharian, ungkapan ghairil maghdu bia’laihim waladholin sering disebut. Kau tahu jalan orang-orang yang sesat? Jalan orang Yahudi dan Nasrani yang dilaknat.” Bicara yang bersisa disambung. Ada nada keras dalam suara itu.
”Habis kau cuba buktikan kau Salahuddin Al-Ayubi yang kedua? Usah bermimpi di siang hari Haikal.” Tanpa memandang Haikal, Amir mengajukan soalan, seolah mengejek.
Haikal senyum.
Apa salahnya andai itu ditakdirkan. Bangkitlah Amir! Bangkit dari lenamu yang panjang. Buktikan kejantananmu, usah dayus dan pengecut.” Kata-kata itu mengakhiri perbualan antara dia dan Amir. Lantas Amir terkulat-kulat ditinggalkan keseorangan. Kecewa mengepung dada. Tidak disangka Amir berfikiran kolot sebegitu. Bukan sehari dua Amir dikenalinya. Malahan bertahun-tahun. Untaian ukhuwah itu telah terjalin lama. Sementelahan Amir teman sepermainannya sejak kecil. Mereka sama-sama membesar di desa yang sama, desa terpencil di Dungun, Terengganu.
”Alhamdulillah.” Haikal bersyukur. Keluarganya cukup memahami. Pantas kalimah syukur dipanjat kepada Rabbul Izzati. Abahnya tidak membantah, begitu juga dengan ibunya. Malah kuntuman doa dan restu ditaburkan mengiringi perjuangan Haikal. Barangkali darah nenek moyangnya, Haji Abdul Rahman Limbong mengalir dalam diri. Meresap ke segenap urat nadi. Darah pejuang. Haikal masih ingat, malah ingat benar pesanan abahnya sebelum bumi Arab ini diterokanya.
”Abah dulu pernah bercita-cita untuk mati syahid ketika menentang penjajah Inggeris dahulu. Namun hajat itu tidak kesampaian, terhenti di tengah jalan. Tapi abah mahu perjuangan itu kau teruskan Haikal.” Kata-kata itu acapkali terngiang-ngiang di cuping telinganya. Seolah-olah baru semalam kalimah itu dilafazkan. Harapan abahnya tinggi, mahu melihat Haikal menjadi rijaluddin dan mujahid di jalan Allah. Amanah itu sentiasa melingkar utuh di sanubarinya. Dan Haikal nekad, amanah itu akan ditunaikan walau nyawa di hujung pedang.
Haikal mematikan lamunan. Pantas kartu syair karangan penyair terkenal Palestin, Ibrahim Tuqan dicapainya.
Di hadapan sana tragedi yang menggerunkan. Si muda menjadi tua lantaran kegerunan. Kamu seperti resam kamu yang tidak menghiraukan. Selain daripada sisa yang tidak berharga kesudahan dimusnahkan oleh golongan taghut. Beritanya tersebar jauh ke sana. Tiada mahligai yang kekal abadi untuk penghuninya. Dan tidak juga walau sebuah pondok yang usang.
”Posto! Posto! Posto untukmu Haikal.” Muncul Nasir sambil menghulur surat di tangan. Mengganggu pembacaan. Telo keindonesiaannya pekat.
”Cewek barangkali,” Nasir bergurau sambil tersenyum sumbing. Kerang busuk.
”Terima kasih Mas Joko,” Haikal juga tidak mahu kalah, gurauan Nasir dibalas. Lantas meledak tawa antara mereka.
Surat bertukar tangan. Haikal terkejut. Tenang yang tadinya diam mendiami kalbu hilang entah ke mana. Resah datang bertandang. Tulisan tangan yang cantik dan kemas itu ditatapnya.
”Zulaika” terpacul nama itu.
Haikal dipagut kegelisahan. Mungkinkah tunangnya memahami dirinya? Adakah Zulaika juga seperti Amir, menghalang niat sucinya? Bertalu-talu soalan itu menerjah minda. Namun Haikal bulatkan azam, Zulaika tak mungkin mampu menggugat keputusannya. Bukan itu tujuan cintanya. Cinta manusia rela dikorbankan. Cinta Ilahi itu lebih utama. Itu syarat ?alawatul iman· Haikal tidak mahu tewas di tangan seorang perempuan. Nasibnya tidak mahu disamakan dengan Napoleon Benaparte.
Assalamualaikum wbt.
Saudara Mohd Haikal yang dikasihi kerana Allah dan RasulNya.
Hasrat murni Haikal telah ummi sampaikan pada Ika petang tadi. Alhamdulillah. Jauh di sudut hati ini, Ika bangga mempunyai seorang tunang seperti Haikal. Yang cekal dan tabah. Yang sanggup menafkahkan jiwa dan raga di jalan Ilahi. Namun jangan sekali-kali tersemat di hati Haikal bahawa Ika penghalang niat sucimu. Demi Allah tidak! Tidak mungkin Ika menjadi penghalang kepada seorang insan yang mencari kasih dan cinta Ar-Rahim. Biarlah Ika menjadi Saidatina Khadijah, pendorong segala kejayaan Rasulullah, suami tercinta.
Haikal,
Masihkah Haikal ingat satu kisah di zaman Rasulullah. Seorang gadis yang dipinang oleh Rasul untuk seorang pemuda yang beriman. Namun sebelum bahtera rumah tangga dilayari bersama, pemuda itu syahid, tersungkur di Jabal Uhud. Biarlah takdir Ika seperti gadis itu dan Haikal seperti pemuda itu. Ketepikan rasa cinta buat Ika. Burulah cinta Ilahi. Ika di sini akan sentiasa mendoakan Haikal. Semoga Haikal temui impian yang tergapai. Ayuh, majulah pejuang allah.
Salam dari kejauhan,
Zulaika Nubaila.
Surat Zulaika ternoktah di situ. Rasa terharu mengepung dada. Zulaika gadis solehah. Haikal bersyukur dikurniakan seorang tunang seperti Zulaika. Cukup memahami dirinya. Surat itu disimpan kemas. Semangatnya makin menyala-nyala. Masjidil Aqsa seolah-olah melambai, menanti-nanti kedatangan.
Pagi itu mendamaikan. Cuaca cerah, tiada riak-riak gerimis akan datang melanda. Angin berpuput lembut. Haikal, Nasir, Hafiz dan Rafiq masing-masing sibuk mengemas barang yang perlu dibawa. Dengan lafaz bismillah kembara cinta menuju Ilahi pun bermula. Perjuangan itu baru bermula·.baru bermula. Haikal bergerak pantas. Mereka perlu cepat. Perjalanan ke Ramsis memakan masa. Teksi perlu disewa.
”Haikal! Haikal!”
Langkah yang dihayun terhenti. Nama Haikal dilaung-laung berulang kali. Segera dikalihnya ke belakang. Haikal kaget. Namun rasa syukurnya pantas menyelinap diri. Dari kejauhan Amir berlari pantas, merapati Haikal.
”Haikal, aku minta maaf. Jika dulu kita pernah berkongsi cita-cita bersama tapi kenapa sekarang tidak? Aku ingin mengikutimu, berjihad fisabilillah. Bawalah aku bersama Haikal,” suara Amir terhenti. Termengah-mengah.
”Dengan Nama Allah yang Maha Esa, aku bersumpah diri dan jiwa ini hanya milikMu Ya Allah!” Amir menjerit. Keras dan lantang.
Air mata kelakian Haikal tumpah. Lantas dua sahabat itu saling berpelukan. Berkongsi hadaf yang satu.
***
Suasana di ibu pejabat Jam?yatus Syubbanil Muslimin riuh rendah. Kelihatan ummat Islam dari seluruh pelosok Mesir berkumpul di situ. Suasana itu mengingatkan Haikal pada firman Allah dalam surah As-Saf.
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam saf yang teratur seakan mereka seperti satu bangunan yang kukuh (As-Saf:4)
Seketika kemudian, As-Sayid Imam Hassan Al-Banna muncul. Dengan serban yang terlilit kemas, berjubah labuh Said Hawwa itu mengatur langkah kemas. Berkumis tebal, wajah itu menimbulkan ketenangan. Terpancar cahaya keimanan di raut wajahnya.
Pembesar suara dicapai. Dengan lafaz asma Allah, ucapan terlontar. Satu persatu kata-katanya bak butiran mutiara, penuh hikmah. Dan Haikal mendengar khusyuk. Pancaindera telinganya dimanfaatkan sebaik mungkin. Strategi peperangan yang diterangkan tersemat kukuh di fikiran. Bagaikan mimpi, kini dia berjuang bersama-sama Imam Hassan Al-Banna. Sementelahan mujaddid itu idolanya selama ini. Syukur Ya Rob.
Doktor Ahmad Al-Malat diperkenalkan. Pengerusi Persatuan Perubatan Islam Kaherah itu zuhud orangnya. Ilmu perubatan disalurkan sepenuhnya ke jalan Islam. Dia bakal merawat mujahidin yang tercedera di medan perang.
Solat sunat dua rakaat segera didirikan oleh tentera Islam. Imam Hassan Al-Banna bertindak sebagai imam mengimami jemaah muslimin. Laungan takbir bergema di udara. Allahuakbar. Memenuhi ruang angkasa. Kuat dan lantang. Semangat kini kian terbakar, menyala-nyala. Haikal pejamkan matanya.
Saat ini yang ku impi-impikan, getus hatinya.
Perjalanan menyusuri Semenanjung Sinai terasa begitu lama. Pandangan Haikal terlempar ke luar. Bumi gersang itu diamatinya. Bumi tempat persinggahan Nabi Musa satu ketika dulu menyimpan seribu satu khazanah. Zikrullah basah di bibir. Niat di hatinya diperbaharui. Berjihad hanya kerana Allah.
Dulu Palestin merangkumi Syria, Jordan dan Labenon, dikenali sebagai bilad Al-Syam. Tapi selepas tercetusnya Perang Dunia Pertama, Palestin dipisahkan oleh Britain. Lantas Sungai Jordan, Laut Mediterranean, Lebanon, Gurun Sinai dan Teluk Aqabah menjadi sempadan,·terang seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad Jamal kepada Haikal. Haikal cuma mengangguk. Anak muda kelahiran Tanta itu berperwatakan intelek.
Trak tentera akhirnya berhenti. Suasana baru itu ternyata asing buantnya. Lantas udara nyaman dihirup dalam-dalam. Bumi Palestin sudah dijejaki Haikal. Moga dagangan hina ini dibeli oleh Allah.
Setiap tentera dibekalkan dengan rifel dan beberapa bom tangan. Meskipun senjata ini Amerika Syarikat, namun semangat juang yang kental dan tinggi tidak pernah padam. Biarpun musuh memiliki senjata yang canggih tetapi ummat Islam tetap memiliki roh jihad yang membara. Masa harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Setiap saat yang berlalu begitu berharga. Haikal lantas mengambil tempat di posisi kanan. Dia meniarap. Rifelnya memuntahkan peluru. Mengena sasaran, tentera Yahudi itu tumbang. Suasana makin hiruk pikuk. Bunyi tembakan jelas kedengaran. Diselang- seli dengan laungan takbir, peniup semangat. Peluru bersimpang- siur. Tentera Yahudi ramai yang rebah, tumbang satu persatu. Sementara tentera Islam mara ke hadapan dengan gagahnya. Namun dalam kegawatan itu, Amir tidak sedar dirinya diteropong tentera musuh. Haikal cuba menjerit, memberi amaran. Tetapi jeritan Haikal tenggelam. Tenggelam dalam hingar-bingar peperangan.
”Bang!” Tubuh Amir dirobek peluru. Badannya rebah, mencium bumi. Darah merah dan pekat mengalir, membasahi tanah Palestin. Haikal tidak sanggup melihat peristiwa itu. Jalan harus dicari. Di sana Amir sedang bertarung dengan maut. Amir harus diselamatkan. Dalam kepayahan, Haikal mendapatkan Amir. Langkah diatur berhati-hati. Silap langkah badannya pula yang akan ditembusi peluru. Kepala Amir dipangkunya. Sahabatnya itu menahan perit kesakitan yang dahsyat.
”Haikal” kedengaran suara itu bergetar lemah.
Amir mencari keupayaan menutur bicara.
”Sampaikan salam kepada keluargaku. Aku rasa, aku rasa perjuanganku setakat ini sahaja.
Arghhh, tapi kau harus berjanji berjanji Haikal jihad ini perlu diteruskan.”
Amir cuba menguntum seulas senyuman dalam kelat kepahitan. Kalimah syahadah ditutur lemah. Dan Amir syahid dalam hidupnya. Syahid di pangkuan teman sepermainannya dulu, Haikal. Kolam mata Haikal berkaca. Ditahan air mata itu daripada tumpah. Namun air mata itu laju menuruni birat matanya. Pantas manik-manik jernih itu diseka. Dia bingkas bangkit. Bumi Palestin menjadi saksi, Haikal berjuang bermati-matian. Dia mara ke hadapan seperti asad yang garang.
Satu demi satu kejayaan diraih ummat Islam. Dan satu demi satu daerah Palestin jatuh ke tangan muslimin. Masjidil Aqsa dan Qubbatussakhra·kembali kepada fitrahnya, kembali menjadi milik ummat Islam. Benarlah kata-kata Tuhan dalam kalamullah yang Agung, sesungguhnya pertolongan Allah akan sentiasa bersama-sama hambaNya yang taat.
Solat zuhur petang itu terasa kelainan. Apatah lagi solat empat rakaat itu didirikan secara berjemaah di Masjidil Aqsa. Solat yang ganjarannya 500 kali ganda. Kelihatan Haikal berteleku di sejadah yang lusuh. Doanya berentet panjang. Kepada Amir didoakan kesejahteraan dan ketenangan. Semoga temannya itu menjadi tetamu di Syurga Firdausi yang indah. Tidak Haikal menjangka Amir pergi dulu menemui Ilahi sebelum dirinya. Namun dia bangga, sahabatnya bergelar syuhada.
Jihad perlu diteruskan. Selagi seluruh bumi Palestin tidak ditawan, perjuangan ini tidak akan ternoktah. Tentera Yahudi seperti Irgun, Levi dan Haganot perlu ditumpaskan. Tentera Islam mula bergerak cergas ke Tel Aviv. Tetapi berita yang baru diterima di pinggir Tel Aviv memeranjatkan semua. Raja Faroq memerintahkan mereka pulang, kembali ke bumi Mesir. Haikal terkesima. Konspirasi jahat apakah ini? Tatkala tentera muslimin di gerbang kegemilangan, mereka disuruh berundur. Pakatan apakah ini? Namun mereka tiada kuasa dan pilihan. Terpaksa akur dengan arahan yang diterima. Kaki terasa seolah-olah berat meninggalkan bumi Quds yang tercinta.
Sekembalinya di Mesir, sekali lagi tentera muslimin terkejut. Layanan yang diterima sungguh menyedihkan. Mereka dihumban ke penjara yang gelap tanpa belas kasihan. Dan yang paling menggemparkan berita kematian Hassan Al-Banna. Beliau ditembak oleh seseorang yang tidak dikenali. Immamul jihad yang dikejarkan ke Hospital Al-Qasrun Aini itu ditinggalkan tanpa rawatan sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Malahan Ikhwanul Muslimin diharamkan dan dibubarkan. Sempurna sungguh sandiwara politik yang dimainkan oleh Raja Faroq.
Bangsat! Haikal mengetap bibir, menahan marah. Marah dengan pemerintahan Mesir yang mengikut telunjuk Amerika Syarikat, Perancis dan Britain. Besi itu dipegangnya. Haikal memberontak. Dia ingin keluar dari situ. Dia tidak suka tubuhnya dibelenggu dan dikurung. Bukan itu kehendaknya. Biar dirinya berada di Palestin, menggempur tentera Yahudi. Pandangan matanya berbalam. Dia kini di sangkar penjara yang gelap dan kotor bersama sebilangan besar tentera muslimin yang lain. Sungguh tidak diduga, begini kesudahannya. Namun Haikal tidak pernah menyesal. Sudah fitrah perjuangan, dipenuhi ranjau dan duri.
”Tergempar! Tergempar! Ummat Islam Palestin dihalau keluar. Bangsa Yahudi mahukan penubuhan sebuah negara di bumi Palestin yang dinamakan Israel. Malahan usul itu dipersetujui kerajaan Britain.” Zaid menyampaikan berita yang baru diterimanya tadi.
Haikal terdiam. Peristiwa Deklarasi Balfour berulang kembali. Ummat Islam Palestin menjadi pelarian di tanah air sendiri. Hatinya geram. Otaknya berserabut. Yahudi benar-benar melampau. Haikal menyumpah dalam hati.
***
Suasana yang hening menjadi kelam kabut. Kelihatan ummat Islam Mesir membantah keputusan yang diputuskan oleh hakim. Keputusan hakim Yahudi itu nyata tidak adil. Haikal tetap tenang. Zikrullah makin deras. Dia dan beberapa ummat Islam yang lain bakal dihadapkan ke tali gantung. Andai ini ketentuanNya, Haikal terima dengan hati yang redha. Biarlah dia syahid di tali gantung. Cuma satu harapannya. Harapan yang lama tersimpan jauh di lubuk hatinya. Semoga Syurga Firdausi sudi menerimanya. Menjadi penghuni di syurga yang mengalir di bawahnya air sungai yang tidak pernah kenal erti tandus dan kering.
No comments:
Post a Comment