Cinta Sufiah
SATU (Prolog)
INI cerita yang benar-benar berlaku. Terpulanglah sama ada hendak percaya atau tidak!
DUA
Benarkah apa yang aku lihat? Itu sepatutnya persoalan pertama yang perlu aku tanya sewaktu terpandang Sofia. Di sebelahnya berdiri seorang lelaki sambil tersenyum ke arahku menghulurkan tangan mesra. Aku berjabat dalam keraguan yang tidak betah diusir.
Sofia tersenyum padaku. Aku tenggelam dalam tanda tanya. Kemudian dengan kudrat yang ada aku berusaha untuk bersuara. Namun kata-kata yang ingin kulafazkan seperti terlekat di kerongkong cuma.
Sofia merapat pada lelaki itu. Aku dijentik cemburu. Namun apa dayaku untuk melarang darinya berbuat demikian. Di mana hak aku kala itu. Cepat-cepat prasangka baik kubunuh mengganti dzan yang baik supaya akal warasku bisa mentakwil setidak-tidaknya lelaki itu suaminya.
“Ini suami saya.” Ujar Sofia memperkenalkan kepadaku lelaki di sebelahnya seraya mengusik rasa terperanjat dalam diriku yang akhirnya kusorok jauh-jauh. Aku hanya mampu tersenyum tawar.
“Syah.” Ujarku ringkas memperkenal diri lantas meleraikan tangan yang sedang berjabatan.
“Hassan.” Pintas suami Sofia. Dia seorang lelaki yang mesra mengenakan kopiah putih dan menyimpan janggut menampakkan wara’ lantaran membudayakan sunnah junjungan mulia. Berbeza dengan penambilanku yang selesa berjeans dan mengenakan baju kasual yang leweh dan selekeh sesuai pula dengan diriku yang tidak pandai bergaya dan beridentiti seorang seniman. Lantas menatijahkan aku tiada ketokohan untuk mendampingi wanita seperti Sofia saat itu.
“Kau dah banyak berubah Sofia.” Ujarku dengan nada sinis.
“Sufiah! Bukan lagi Sofia.” Ujarnya membetulkan.
“Aku lebih mesra dengan nama lamamu, Sofia.” Dia hanya membisu.
Masa telah mengubah segalanya. Sofia yang berada di depanku kini sudah jauh berubah. Dari seorang gadis genit lincah mentah kepada seorang wanita yang akrab dengan perintah agama Islam. Sofia bertudung litup, mengenakan jubah dan tidak bermekap tebal. Namun keayuannya tidak mampu disembunyikan. Jelas seperti dahulu juga. Seperti lima tahun sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
“Masih ingat lagi Syah pada saya?” Soal Sofia meneruskan perbualan setelah kami mengambil tempat di dalam sebuah restoran eksklusif di ibu kota itu.
“Masakan tidak!” Ulasku sambil tersenyum pahit.
“Rasanya bagai baru semalam kita berpisah.” Sofia mencipta provokasi.
“Bagaimana harus saya lupa pada wajah yang pernah mengusik cinta suatu waktu dulu.” Ucapku di dalam hati cuma.
Nostalgia semalam tika kehangatan cintaku bertautan tangan dengan Sofia sambil bermadu kasih di tepian laut Andaman bagai menerpa di ruang mata. Ia tersingkap persis sebuah tayangan yang tersusun bersama plot-plot rakaman memori itu. Seperti sebuah drama. Dan aku masih ingat bagaimana cinta itu akhirnya bersemadi dengan rendaman air mata insan bernama Sofia itu.
“Itukah keputusan muktamad Sofia?” Soalku.
“Ya. Sofia rasa Sofia dah pilih yang terbaik untuk diri Sofia.”
“Terbaik? Kalau terbaik mengapa perlu korbankan cinta kita?” Sofia gugup mendengar pertikaianku.
Sofia membisu. Aku kelu. Tiada bicara yang mampu mengisi ruang itu sehingga bayu laut Andaman menyapa muka. Lembut dan hening.
“Kenapa Syah hendak sangat Sofia peluk Islam?”
“Demi cinta kita Sofia. Syah amat berharap Sofia sudi memeluk Islam supaya cinta kita boleh ditautkan dengan ikatan perkahwinan yang sah.”
“Mengapa tidak Syah saja yang buktikan kesetian?”
“Maksud Sofia?” Soalku ragu.
“Ikut anutan Sofia.”
“Buddha?”
Sofia tersenyum sedang aku dihambat gelisah kemudian menggeleng perlahan demi menidakkan cadangannya itu. Serentak itu air muka Sofia berubah.
Aku menyaksikan tubir matanya tidak bisa lagi menahan linangan air mata yang akhirnya mengalir lesu. Aku bersimpati. Namun simpati itu hanya sekadar lakonan sedang aku perlu lebih simpati pada diriku sendiri untuk teguh dengan keimanan yang nipis memelihara agamaku.
“Memang Syah cintakan Sofia. Tapi Syah tak sanggup untuk gadaikan agama demi hanya untuk memiliki Sofia. Kita punya prinsip Sofia. Prinsip itu bukan untuk digadai demi untuk mengaut sesuatu yang tidak bernilai.” Aku bersuara dengan nada yang lunak supaya bisa difahami gadis itu.
“Maksud Syah Sofia ni tiada nilai di sisi Syah? Cinta kita tiada nilai? Begitu?” Bentak Sofia meningkah.
“Bukan begitu Sofia.”
“Habis? Bagaimana?”
Aku terkasima. Tiada hujah yang mampu aku huraikan demi untuk menyatakan untuk murtad dari agama Islam hanya kerana sebuah cinta dan seorang gadis aku tidak mampu lakukan perkara itu. pandai. Malah aku tidak berselera. Walaupun pengetahuan agamaku cetek dan tidak sehebat mana.
“Jadi maksud Syah kita memang tidak sepadan. Cinta kita tiada nilai. Kita harus berpisah!” Sofia membuat kesimpulan sendiri.
Aku terdiam. Kelat. Hati terus dirundung keliru untuk menyatakan pendirian meski ia telah terpahat kukuh. Aku tidak perlu kalah dengan gadis ini. Rayuan Sofia memerangkapkan aku. Namun prinsip tetap prinsip. Tapi… Bagaimana harus kupujuk gadis ini sedang aku sendiri cetek pengetahuan tentang Islam. Cuma apa yang aku tahu untuk berkahwin dengan gadis bukan Islam seperti Sofia, dia wajib memeluk Islam.
Sofia jadi tidak keruan. Dengan linangan air mata dia berlari meninggalkan aku sendirian di pantai itu. Bayu Andaman terus menyapa tubuh. Nyaman mengigit-gigit. Aku kelu dalam keliru.
Beberapa bulan selepas kejadian itu aku mendapat khabar Sofia telah berangkat ke Kota Madrid mengikut saudaranya. Aku membuat kesimpulan cinta antara aku dan Sofia telah berkubur, walaupun nisannya tidak pernah wujud. Meski aku bukan seorang yang alim beragama, namun untuk menggadai prinsip demi cinta aku tidak sanggup. Keputusan itulah yang membuatkan aku ditinggalkan Sofia.
Kadang kala aku diusik rasa bersalah. Namun usikan itu cuma sekadar sebuah citra yang akhirnya kubunuh dari bertamu di garisan hayat.
“Lima tahun bukanlah suatu jangka waktu yang lama.” Pintasku setelah agak lama menyepi.
“Tapi macam-macam boleh berlaku dalam tempoh seperti itu Syah.” Ujar Sofia sambil membuang pandangan ke panorama luar restoran.
Hassan masih ralit dengan akhbar di tangannya tanpa menyampuk perbualan antara kami.
“Maksud kau?” Soalku.
“Lagikan pantai berubah walau sekali air bah, inikan pula manusia seperti kita.” Sofia berkias denganku. Bahasanya meruntun tirai egoku.
“Tapi aku masih seperti dulu juga. Seperti lima tahun dulu…” Jelasku kelat.
Aku tahu dengan penjelasanku itu aku mempelawa untuk dihina. Namun apalah yang mampu aku sembunyikan. Jelas terpapang bagaimana keadaan diriku yang seperti dulu juga. Selekeh. Meskipun aku sendiri tahu hidup tanpa perubahan kepada yang lebih baik adalah suatu kehinaan.
“Sekurang-kurangnya kita perlu berubah Syah!” Aku hanya tunduk membisu mendengar kata-kata Sofia itu. Ia bagai mengherdik dan menghina diriku.
Lima tahun terpisah dengan Sofia aku menghabiskan pengajian dalam bidang seni lukisan di salah sebuah institut dalam negara sedang Sofia terbang ke negara Andalus. Di sana dia beroleh hidayah setelah berkenalan dengan Hassan di Kota Cordova.
Hassan seorang siswazah lepasan pengajian Islam di Timur Tengah yang sedang dalam safar di Kota Cordova menjejak athar tamadun islam yang pernah subur di sana. Kota yang pernah merakamkan kegemilangan Islam suatu waktu dulu itu kini hanya meninggalkan memori pada lembaran kitab tarikh. Kisah bagaimana kegemilangan Islam itu terakam di dalam lembaran sejarah umat Islam. Melalui Hassan akhirnya Sofia menjadi berminat dan mulai ghairah dengan Islam. Dia akhirnya memeluk Islam dan berkahwin dengan Hassan.
Mengapa aku tidak seperti Hassan yang berjaya membimbing Sofia ke arah hidayah Ilahi? Aku sendiri gugup untuk menjawab persoalan itu. Biarlah ianya menyepi.
Aspania @ Andalus @ Sepanyol bukan sahaja sebuah negara yang pernah menjadi kerajaan Islam malah juga antara salah sebuah kilang pengeluar tokoh keilmuan dan ulamak muktabar ketika kegemilangan pemerintahan Islam suatu ketika dulu. Tetapi semua itu telah berakhir semenjak kejatuhan pemerintahan Islam dan umat Islam diusir keluar dari bumi Andalus itu. Kini hanya lebih akrab dengan nama Sepanyol.
“Tentu Syah masih ingat bukan?”
“Ingat? Ingat apa?”
“Prinsip. Saya kagum dengan prinsip itu yang tidak mahu menggadaikan agama hanya semata-mata kerana cinta kepada seorang gadis Buddha seperti saya. Syah masih ingat bukan? Lima tahun dulu di tepian laut Andaman? Adakah prinsip itu masih begitu? ” Soal Sofia menduga.
Sofia bersuara lagi. “Sejak perpisahan itu saya mula belajar tentang Islam. Patutlah awak tak mahu gadaikan prinsip beragama dulu. Rupa-rupanya Islam itu agama yang indah. Baru kini saya sedar. Betapa indahnya Islam.”
Aku terasa seperti seketul batu besar menghempapku berkali-kali. Nafasku cungap. Lidahku kelu. Tiada kalimah yang wajar untuk kulafazkan saat itu.
Lima tahun berpisah Sofia belajar tentang Islam. Dia akhirnya memeluk Islam dan memperelokkan Islamnya. Tapi aku? Lima tahun gundah kerana cinta yang tidak kesampaian. Dan lima tahun itu jugalah aku membuang keresahan di kanvas bertemankan warna-warni. Duniaku hanya tahu melukis dan lukisan-lukisan itu aku abadikan kedamaian. Aku sesat dalam belantara cinta yang kucipta sendiri.
Pertemuan dengan Sofia hari itu berakhir tanpa aku dapat rakamkan bagaimana kesudahannya yang sebenar. Aku dilambung rasa sesak dan senak.
TIGA
Dalam sujud yang panjang itu aku berdoa supaya Allah menemukan aku dengan seorang wanita solehah untuk dijadikan teman hidup. Cintaku di zaman kejahilan dulu segera kuusir jauh. Biar ia menjauh dan tindak lagi bertamu di ruang ingatanku.
Aku semakin memahami Islam hasil usahaku mendekati seorang pendakwah. Barulah aku sedar. Benarlah seperti kata Sofia. Islam itu agama yang indah. Menganutnya merasai kedamaian. Keesaan Allah itu adalah hakiki. Keimanan itu melahirkan ketaqwaan. Bunganya adalah ad-deen. Putiknya akidah, bajanya syariah dan hiasannya akhlak. Islam terlalu agung.
Aku telah memilih jalan itu. Namun hobiku dan kecenderunganku tidak pula terabai. Aku masih terus dengan bakat seni melukis. Aku sering beroleh keinsafan seringkali melukis keindahan alam. Di situlah aku mula belajar bahawa alam yang indah ini punya pencipta yang Maha Agung. Ubudiahku kepada Khaliq semakin kuat dan jitu.
Dari sehari ke sehari aku semakin memahami. Aku hidup lapang.
EMPAT (Epilog)
Hampir setahun berlalu. Semalam sewaktu sedang makan tengahari di sebuah gerai aku disapa Sofia.
“Ah! Sofia, mana suami kau, Hassan?”
Sofia hanya diam sambil mengukir senyum. Kelat. Dalam pertemuan singkat itu Sofia memberitahuku suaminya Hassan telah kembali ke Rahmatullah kerana mengidap sejenis barah. Aku terkedu. Simpatiku mengusik.
Rasanya baru semalam aku, Sofia dan Hassan berbual-bual. Namun hari ini semua itu telah berlalu. Yang tinggal hanyalah secebis nostalgia.
Hari ini aku masih berfikir. Wajarkah aku memetik kembali bunga yang pernah bertamu di laman hidupku dulu? Aku keliru. selepas beristikharah aku temui jawapan.
Aku yakin kali ini. Sesungguhnya pertemuan itu ada perpisahan. Dan sekarang aku kembali bertemu setelah berpisah. Tentu kau pernah diceritakan dengan kisah cinta Zulaika dan Nabi Yusuf bukan? Kau masih ingat? cinta Zulaika itu bertaut jua akhirnya. Aku yakin pada cinta yang suci.
Aku tidak mahu lagi kehilangan cinta itu. Kerana itu cintaku patut bersemadi bersama cinta Sufiah. Cinta Sufiah itu cinta suciku. Kau percaya bukan?
No comments:
Post a Comment