Alhamdulillah wassolatuala rasulillah
syukur masih dipinjamkan hidayah dan nyawa dari Allah buat kita. ALHAMDULILLAH.
Suka saya bawa kalian, para pembaca tentang tajuk yang saya pilih pada kali ini. USRAH, semua sedia maklum Usrah adalah salah satu dari wasilah Tarbiyah. Yang mana bertujuan menyuburkan fikrah ahli-ahlinya dan menyatukan yakni SEFIKRAH atau dalam bahasa ArabnyaWEHDATUN FIKR.
Fakta yang semua sedia maklum dibentangkan acap kali dalam singkat pertemuan pertama adalah tentang sirah pada zaman Nabi lagi. Sirah yang sangat terkenal iaitu usrah di rumah Al-Arqam bin Abi Al Arqam.
Terus saya kepada isi yang ingin saya kupas ialah tentang usrah itu tarbiah atau doktrin?
Kalau kita singkap pengalaman mereka yang menyertai usrah pasti menceritakan 1001 hikayah dan kisah yang menarik, manis, pahit, masam dan kelat yang ditelusuri bersama ahli usrah yang lain. Sebenarnya, kisah-kisah ini adalah proses, bukan hanya kisah! Ya, proses pentarbiahan dari sang Murabbi mereka kepada ahli-ahli usrahnya. Yang tanpa sedar membentuk bibit ukhwah, thiqah, dan persefahaman langsung kepada permuafakatan!
Seterusnya, persoalan yang ingin saya lontarkan, adakah usrah itu dimomokkan dengan ideologi? Adakah usrah hanya sebagai medan tempat bercambah 'ukhwah' sesama mereka? Persoalan ini perlu kepada jawapan yang terletak pada sang Murabbi itu sendiri. Jika hanya sang Murabbi yang bercakap sehala tanpa interaksi dari pada pendengar ahli-ahli usrah, bukankah ianya boleh di gelar 'syok sendiri'. Mungkin dari sini timbul isu dari mereka yang hanya menjadi 'pendengar' itu menggelarkan usrah tempat didoktrinkan!
Amat rugi sekali jika datang usrah hanya mahu menadah telinga.Kemudian pulang tanpa hasil amal dan gerak tindak. Ayuh muhasabah! Berdasarkan pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui oleh saya, saya sangat bersetuju jika dikatakan usrah itu membentuk jati diri seorang muslim dari banyaak sudut.
Usrah bukan tempat bengkel kewartawanan untuk membentuk manusia menjadi wartawan, bukan juga bengkel pengucapan awam tempat belajar berucap sahaja, bukan juga ruang menyemai rasa berukhwah sesama ahli. Tetapi Usrah adalah satu ruang untuk membentuk fikrah yang jelas. Juga satu peluang membentuk mukmin berpemikiran matang, hasil dari apa? Sudah tentu hasil dari usrah yang tahu hala tuju mereka, cakna dengan visi dan misi hidup di dunia. Tanpa melupakan tautan hati selepas sesi tazkiyatun Nafs.
Usrah medan yang kecil jika dibandingkan dengan memerintah sebuah negara, tetapi usrah memainkan peranan penting dalam membina rakyat yang celik hati dan minda. Jelas hadaf dan objektif di bangkitkan di bumi ini. Tahu tentang tanggungjawab mereka. Maka peranan usrah sangat besar walaupun hanya di pandang enteng oleh mereka yang menolak tarbiah!
Di samping itu, kesedaran ahli-ahli usrah untuk membangkitkan suasana Usrah yang sebenar adalah perlu. Mereka sendiri yang menbentuk acuan yang mereka mahu. Bukan mengharapkan para Naqib atau Naqibah sahaja memandu. Perlu punya amanah dalam diri untuk beramanah dengan tanggunjawab ini. Ahli usrah jangan hanya bergantung pada Naqib, kerana ada sesetengah dari mereka datang usrah kerana kawan, kerana mengisi masa lapang, atau kerana tidak tahu nak buat apa.
Beruntunglah sebuah usrah itu jika ahlinya sudah bersedia dengan tajuk yang akan dibahas, sudah mula bercakap bagi yang pasif, sudah mula mencetuskan perkembangan fikrah,telah berlaku pembongkaran isu semasa dan isu realiti, telah mula amal praktikal yang disusuli selepas teori, sudah mula mencari bahan-bahan tambahan untuk dikongsi dan amat berungtung si Naqib atau Naqibah jika ahli usrahnya sangat aktif sekali, rancak dengan perbualan ilmiah! Masyaallah.
Maka jika semua ini dilihat tercapai. Tiada istilah didoktrinkan ketika usrah! Bahkan semua ahli usrah merasai manisnya berusrah, kalau boleh setiap hari diadakan usrah, lazatnya usrah sampai begitu sekali!
Subahanallah.
Sebagai akhirnya, saya bukanlah orang yang layak mengulas tajuk yang saya berikan pada entri kali ini, tetapi saya berkongsi atas rasa kesedaran melihat betapa pentingnya usrah ini! Rasailah kemanisannya!
salam juang buat mereka yang sedang berusrah dan akan berusrah!
Mar'atul Husna Roslan
UIAM Gombak.
No comments:
Post a Comment