“Sekalipun aku dibunuh, kepercayaanku masih tetap pada Allah yang Esa" "Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." kata-kata Zinnirah-srikandi Rom
~semoga mereka dirahmati Allah~
Sunday, February 7, 2010
50,000 remaja Melayu mohon murtad?
Baru-baru ini, seorang ustaz dari Jabatan Agama Islam di salah sebuah negeri di Malaysia, telah menyampaikan ceramah di Seremban mengenai Maulidur Rasul. Beliau menceritakan di kala umat Islam di Malaysia sedang meraikan Maulidur Rasul, pada masa yang sama, beliau mendakwa 50,000 remaja Melayu di Lembah Klang sedang membuat permohonan untuk murtad.
Kes-kes murtad sebelum ini dianggap satu kes yang sensitif di mana ianya tidak dibincang secara terbuka dan statistiknya tidak didedahkan kepada umum. Mengapakah isu murtad ini tidak dibincang dengan fikiran yang terbuka di kalangan umat Islam?
Hanya yang kita dengar, cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama akan menggugat kepentingan umat Islam di Malaysia ini. Antara cadangan yang dikemukakan ialah permohonan murtad haruslah diuruskan oleh mahkamah sivil dan tidak perlu diproses oleh mahkamah syariah seperti yang berlaku sekarang ini.
Mengapa kita, pada satu sudut, memandang negatif terhadap kumpulan yang pada tanggapan kita, akan lebih menggalakkan lagi gejala murtad, sedangkan kita tidak pernah mengkaji mengapa angka murtad semakin hari semakin membimbangkan?
Pihak berkuasa agama Islam haruslah mendedahkan statistik murtad ini kepada umat Islam di Malaysia kerana gejala murtad ini boleh merosakkan institusi keluarga Islam lebih teruk daripada gejala sosial dan dadah.
Ada yang mengatakan bahawa rata-rata remaja Melayu keluar daripada agama Islam bukan kerana mereka percayakan kebenaran agama-agama lain, tetapi hanyalah sekadar mereka tidak gemar untuk mengamalkan Islam, suka hidup bebas, suka meminum arak dan bermain judi.
Mungkin ada pula yang memikirkan terdapat terlalu banyak sekatan dalam agama Islam itu sendiri. Ini jelas terbukti apabila khutbah dan ceramah di masjid di Malaysia ini, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ini menyebabkan para khatib bukannya berkhutbah seperti yang sepatutnya, akan tetapi hanya sekadar membaca teks khutbah yang mana ini boleh dilakukan oleh kebanyakan orang.
Bagaimana mereka hendak tertarik pada Islam apabila khatib tidak pandai menyampaikan khutbah mengikut isu semasa dan keadaan setempat. Bayangkan isi khutbah yang di bandar turut sama dibaca di tanah-tanah rancangan, sedangkan keadaan di bandar tidak semestinya sama dengan di luar bandar.
Ini berlainan sekali dengan agama lain. Kita dapati tiada larangan dan halangan untuk pendeta mereka untuk memberikan ceramah. Sudah pasti ada remaja Melayu yang tertarik kerana senario begitu berbeza sekali apabila pendeta bebas dan petah berceramah dalam perjumpaan mingguan, sedangkan khatib kita hanya boleh berceramah menggunakan teks yang diluluskan.
Maka tidak harianlah pada hari Jumaat, apabila khatib sedang berkhutbah, ada sahaja para jemaah yang tersengguk-sengguk menahan ngantuk ataupun mungkin ada yang terlena terus sehingga badan membongkok dan dahi hampir mencecah bumi.
Segala permasalahan yang melanda umat Islam sekarang ini haruslah berbalik kepada al-Quran dan Sunnah serta sentiasa mendapatkan nasihat para ulama. Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid dan surau kita tidak dimakmurkan?
Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid-masjid hanya dijadikan tempat tarikan pelancong serta dihiasi dengan pelbagai perhiasan yang terkini, sedangkan ianya sepi daripada para jemaah yang mendirikan solat lima kali sehari semalam?
Marilah kita menghidupkan kembali sunnah Rasulullah SAW. Penuhkanlah masjid setiap kali solat lima waktu dan bukan hanya pada hari-hari kebesaran atau bukan hanya apabila ada pemimpin kerajaan datang berkunjung, barulah jemaah serta jawatankuasanya mula menampakkan wajah di masjid.
your sincerely:-
zinnirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment