~semoga mereka dirahmati Allah~

Dimulakan dengan....

Photobucket

Thursday, February 18, 2010

RENUNGAN BUAT PEJUANG ISLAM....

Usrah, Meeting, Program dan...?
www.iLuvislam.com




Tariq melabuhkan badannya ke tilam murah di rumah sewa setelah penat membawa usrah sebentar tadi. Dia menyiapkan beberapa tugasan untuk dihantar pada pensyarah pagi esok. Selesai saja tugasan, Tariq terpaku seketika dek terkenangkan ahli-ahli usrah yang dibawanya... Adakala rasa seronok berkongsi pandangan dengan mereka. Tapi... "Ahh... Malas la nak fikir, tidur lagi bagus", detik hatinya. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi.

Sebelum Subuh lagi Tariq bangun untuk bersiap-siap ke surau. Dengan mata yang bengkak kerana tak cukup tidur, dia jalan terhuyung-hayang menuju ke surau berdekatan setelah mengambil wudhuk di rumah. Selesai solat berjamaah, ia berzikir sambil 'menunduk-nudukkan kepala' tanda sangat 'khusyuk' dalam zikirnya. "Alahai.. mengantuknya. Balik rumah je la. Boleh landing kejap sebelum ke kuliah.."


"Tariq...! Awak mengantuk lagi, pergi basuh muka", tegur pensyarahnya, Dr. Syarah. Mata Tariq cerah semula. Ramai pelajar tersenyum sinis memandangnya. "Alamak... kantoi lagi aku dengan Dr. Syarah", getus hatinya. Tariq membuat muka selamba seolah tiada apa-apa yang berlaku. Pensyarah itu meneruskan syarahnya walaupun mata Tariq masih lagi 'bergelombang' sayup-sayup layu mata memandang.

Sedang mendengar kuliah dengan mata kemerah-merahan, handphone Tariq vibrate menandakan ada call atau sms dari seseorang. "Salam. Jangan lupa 8.15 malam ni diadakan meeting di aras jamaah, fakulti program." Begitulah pesanan sms yang tertulis dari kawan seusrahnya, Mutarriq. "Meeting lagi", keluh hatinya. "Malam tadi dah usrah, malam ni meeting pulak", tambah hatinya. Selesai hantar tugasan dan kuliah 'tidur' jam 10.30 pagi, Tariq meluru ke motornya sambil membelek buku kecilnya jika ada perkara-perkara yang perlu dilakukan.

"Ishh... Yang ni tak buat lagi, yang ni pun tak buat lagi. Hari ni dah Khamis, program hari Sabtu. Apa aku nak jawab dengan Mutarriq malam nanti?" tanya hatinya. Mahu tak mahu Tariq pulang ke rumahnya. Ia membuka komputer sambil menaip-naip sesuatu sambil memicit kepalanya. "Ok. Kuliah lambat lagi. Pukul 2.00 petang. Boleh aku siapkan kerja aku ni", cetus hatinya sambil melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 11.00 pagi.

Setelah dua jam berhempas pulas, akhirnya kerja yang berkaitan dengan program Sabtu terdekat selesai. "Alhamdulillah..." syukur Tariq padaNya kerana memudahkan urusannya. Tariq cukup yakin akan pertolongan Allah bagi orang yang menolong agamaNya. Selesai solat Zohor, Tariq bergegas ke fakulti untuk kuliah. Dengan macho ia masuk ke kelas. Belum sempat Tariq duduk dan bertegur sapa dengan kawannya, pensyarah berkata, "Ok kelas, kita ada kuiz sekarang. Sila tutup buku dan nota". Hilanglah macho Tariq apabila mendengar perkataan keramat itu. Mulutnya ternganga kelu tanpa kata. "Habis la aku kali ni... Satu apa pun aku tak baca", kata hatinya.

Timbullah suara-suara jahat Azazil: "Itulah kau. Sibuk usrah, meeting, program memanjang sampai belajar entah ke mana. Kalau kau belajar saja kan bagus. Mesti kau boleh score punya. Usrah, meeting, program ni lepas belajar pun boleh buat. Malam esok kamu pulak ada usrah di rumah Pak Cik Murabbi. Bila pulak kamu nak study? Haa.. Jawab, jawab...!". Tariq tak jawab apa-apa oleh kerana kagetnya sambil mulut ternganga. Lebih jahat lagi Azazil menghasut: "Kamu nak mintak tolong siapa sekarang. Pak Cik Murabbi tak dapat tolong kamu. Jamaah pun tak dapat tolong kamu. Allah tak tolong kamu. Fail nanti kamu jugak yang susah." Walaupun sedang dilema, Tariq meneruskan kuiznya sekadar yang termampu.

"Tariq mesti istiqamah dalam perjuangan...", kata Pak cik Murabbi setelah Tariq mengadu masalahnya. "Belajar tu wajib. Kamu mesti bersedia sepanjang masa", tambahnya lagi. "Tapi Pak Cik, macam mana? Setiap hari ada saja kerja yang perlu dibuat sampai tak sempat nak study", kata Tariq. "Masing-masing diberikan masa secukupnya, cuma kita yang tak pandai menggunakannya", jawab Pak Cik Murabbi. "Banyak lagi masa yang kita ada. Cuba kamu kira, berapa lama berbual-bual dengan kawan? Berapa lama melayari internet? Berapa lama menonton televisyen? Berapa lama bermain games? Berapa lama makan di gerai?" tambahnya.

"Semua itu pencuri masa kita. Kurangkan masa-masa tersebut dan Tariq pasti ada masa untuk study", tegasnya. Lantas Pak Cik berpesan kepada Tariq sebelum pulang dari usrah: "Jangan salahkan perkara atau orang lain jika salah itu datang daripada diri kita sendiri. Salah kita kerana tidak pandai menguruskan masa. Orang lain pun lebih sibuk daripada awak dan ia juga berjaya dalam pelajarannya. Ia juga diberi 24 jam sehari seperti awak." Amat tepat sekali jawapan Pak Cik Murabbi kepada Tariq dan menimbulkan kembali semangat juangnya untuk Islam dan tidak melupakan masa untuk belajar.

Namun, Tariq bertanya: "Siapa orang lain yang berjaya tu Pak Cik?". Dengan selamba Pak Cik Murabbi menjawab: "Pak Cik la orang lain tu. Nak bagitau nama orang lain Pak Cik tak tau...", sambil senyum meleret pada Tariq sambil ternampak gigi. "Terima kasih atas nasihat Pak Cik", kata Tariq sambil tersenyum. Tariq pulang bersama mutiara berharga dari Pak Cik Murabbi yang juga cemerlang dalam usrah, meeting, program dan... AKADEMIK semasa belajar dahulu.

"Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan memotong kita."
(Pepatah Arab)




your sincerely:-
zinnirah

MAWAR BERDURI


MAWAR BERDURI,
Indah sungguh kelopak bungamu,
Secantik bahasa dan gerak gerimu,
Sopan ditiup sang bayu,
Batang dan dahanmu tetap tunduk malu.

MAWAR BERDURI,
Kelopakmu tetap dipelihara,
Daripada Kumbang yang membinasa,
Duri didahanmu tetap tersedia,
Mempertahankan kecantikkan dan kesucian jiwa.

MAWAR BERDURI,
Kau tetap sentiasa berdiri,
Menahan cabaran yang diberi,
Tetap tidak pernah hilang harga diri,
Dirimu indah sukar untuk didekati,
Walaupun dipujuk, dirayu oleh nafsu sendiri,
Melainkan syariat memberi.

MAWAR,
Si kumbang perkasa tidak akan tertawan,
Dengan mawar yang kehilangan perawan dan keagungan,
kerna dirimu telah rosak dibinasakan.


MAWAR,
Hilang hargamu wahai sekuntum mawar murahan,
Menayangkan kecantikkan yang tiada kesempurnaan,
Hanya terus bertuhankan nafsu dan keseronokan,
Dirimu ditinggalkan patah kelayuan.



your sincerely:-
zinnirah

Kerana Ukhwah Itu Indah




Menyedari dirinya sudah terlambat untuk ke kelas Physiology, Qistina berlari-lari anak tanpa menghiraukan pelajar-pelajar lain yang sedang memerhatikan kegopohannya itu. “Tak kisahlah apa orang nak kata yang penting aku cepat sampai ke kelas Profesor Azlan. Kalau lambat setakat lima minit takpe lagi sekurang-kurangnya aku tak dihalau keluar kelas kerana lambat.” Qistina memujuk hati. “Hai Qistina. Awal kamu masuk kelas saya hari ini ye?.” Seperti yang dijangka Qistina, Profesor Azlan pasti menegurnya. “Sorry Prof.” Qistina melontarkan senyuman kelat sambil mencari-cari tempat kosong.

"Hey Qis! Apasal kau lambat hari ini? Tak pernah-pernah kau lambat. Pelik juga aku.” Gadis tinggi lampai dan berkulit kuning langsat menyapa Qistina yang masih sibuk merapikan nota-nota kuliah tadi. “Eh Irah, sekejap ya. Nanti saya jelaskan. Jumpa kat kafé ya Irah?” Irah sekadar mengangguk tanda paham dan sebentar kemudian berlalu meninggalkan Qistina yang masih lagi sibuk menyusun nota-notanya.

Qistina dan Zahirah merupakan sahabat baik sejak di sekolah menengah lagi. Tidak mereka sangkakan jodoh mereka berpanjangan sehingga dipertemukan sekali lagi untuk berjuang bersama mengejar cita-cita yang sama juga di tempat yang sama. Keakraban mereka kadang kala dilihat oleh teman-teman sekuliah sebagai sesuatu yang pelik.

“Bagaimana awak boleh berkawan dengan Irah tu Qis? Dia kasar dan kata-katanya juga kadang-kadang boleh buat orang terasa. Tak macam awak. Bagai langit dengan bumi!”

Qistina hanya tersenyum apabila ada antara teman-temannya yang menanyakan soalan seperti itu. Baginya, orang lain tidak perlu mengetahui apa yang dia rasa dan lalui tapi cukuplah Allah sahaja yang mengetahui betapa ikhlasnya dia meneruskan sebuah ikatan persahabatan tersebut. Siapapun Irah dan bagaimana sekalipun pandangan orang lain terhadap sahabat baiknya itu, dia tetap akan berdiri teguh untuk mempertahankan erti sebuah persahabatan yang telah lama dibina. Qistina amat menyayangi Irah yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri.

“Assalamualaikum Irah”. Sapa Qistina pada Zahirah yang sedang asyik sekali meneguk ‘orange juice’ yang pastinya melegakan di saat cuaca panas terik seperti itu.

“Er waalaikumsalam. Ha sampai pun! Cepat bagitau apsal kau lambat tadi.” Irah menampakkan sikap kegopohannya. “Sabarlah awak, kalau ye pun bagilah saya ‘order’ dulu. ‘Jealous’ saya tengok awak asyik sekali meneguk ‘orange juice’ tu sampai saya datang pun awak tak perasan”. Seloroh Qistina dan kemudian dia berlalu untuk memesan air di gerai yang berdekatan. Irah terus meneguk ‘orange juice’ sambil dahinya berkerut menampakkan seribu tanda tanya pada riak wajahnya. Walaupun Zahirah sangat bersahaja dan sering didakwa sebagai seorang yang tidak mempunyai perasaan oleh teman-temannya namun jika sesuatu perkara yang melibatkan Qistina, dia pasti akan ke hadapan.

“Ha, air dah dapat, duduk pun dah sedap bukan main, sekarang baik kau cerita kalau tak aku takkan tegur kau untuk dua hari”. Ugut Irah. Mungkin sudah tidak sabar benar dia menantikan penjelasan daripada Qistina. “Er kenapa dua hari? Kenapa tak seminggu je?Sebulan ke?” Qistina ketawa kecil.

“Dua hari cukuplah. Nanti saya berdosa pula kerana memutuskan silaturrahim selama lebih tiga hari. Dah kau jangan nak buat lawak. Cerita cepat!” Bentak Irah. Qistina sebenarnya amat mengagumi Irah. Walaupun agak kasar namun Irah sangat rajin mempelajari ilmu agama dan setiap malam Jumaat Irah sering mengikuti Qistina pergi ke masjid berdekatan untuk menghadiri kuliah agama. Jadi tak hairanlah Irah banyak mengetahui pesanan-pesanan Nabi junjungan, Muhammad s.a.w.




“Irah, saya nak balik”. Qistina tiba-tiba bersuara. “Apa? Kau nak balik? Mana ada cuti. Cuti akhir semester lambat lagi. Kau kenapa Qis?Tiba-tiba je nak balik. Soalan aku apsal kau lambat tadi dah la kau tak jawab lagi”. Irah berleter panjang. “Irah, pagi tadi mak saya telefon. Katanya..” Qistina semakin tidak betah menahan hiba. Dia tertunduk kaku. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Kafeteria semakin lengang dengan pelajar dan hanya tinggal mereka berdua.“Kenapa Qis? Apa yang mak kau kata? Irah yang kasar orangnya tiba-tiba menjadi lemah lembut dan mesra. Sambil mengangkat kepalanya, Qistina berkata “ Irah, ayah saya dah ‘pergi’ ”.

Tersentak Irah mendengar berita tersebut. Dia merapati Qistina dan memeluk erat sahabat baiknya itu.“Innalillah. Sabar ye Qis. Allah s.w.t lebih menyayangi ayah Qis.” Hanya itu yang mampu diucapkannya. Irah sudah sedia maklum akan keadaan kesihatan ayah Qistina yang lumpuh seluruh badan akibat serangan ‘stroke’ setahun yang lalu dan keadaan ayah Qistina semakin tenat sejak minggu lalu. Sejak ayah Qistina sakit, emaknyalah yang betungkus-lumus menguruskan keluarga. Mujurlah Qistina mendapat bantuan biasiswa. Setidak-tidaknya, dapat juga dia meringankan beban emaknya itu. Qistina juga sering mengikat perut dan berbelanja seminimal mungkin bagi menyimpan wang untuk dihantar kepada ibunya. Walaupun Irah dan Qistina bukan rakan sebilik, namun Irah sering berhubung dengan rakan sebilik Qistina mengenai keadaannya termasuklah makan minum Qistina.

Irah terus memeluk erat tubuh longlai Qistina sambil menyeka air mata Qistina yang semakin galak menghujani pipi teman baiknya itu.”Kenapa ujian Allah buat saya begitu berat, Irah? Saya tak sanggup lagi menahannya Irah. Saya lemah. Kenapa harus saya yang menerima ini semua Irah?Allah tak sayangkan saya ke Irah? Apa dosa saya sehingga begini berat sekali ujian yang harus saya terima? Irah, saya rindu ayah saya.” Tangisan Qistina semakin tidak terbendung.

“Qis, kau kena kuat. Tak boleh lemah macam ini. Kau ingat tak pesan Ustaz Rizal semasa kuliah agama minggu lepas? Walau apapun dugaan yang Allah turunkan buat kita, semua itu adalah untuk menguji sejauh mana kesabaran dan keikhlasan kita dalam menerima ketentuanNya. Ini takdir yang harus kau terima. Kita hamba-Nya sentiasa layak diuji. Kau, aku dan semua manusia tidak terlepas daripada ujian, hanya yang membezakan kita adalah bentuk ujian itu sendiri. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin Allah s.w.t tidak mahu ayah kau berperang dengan dirinya lagi dengan terus dihimpit rasa bersalah melihat kepayahan emak kau membesarkan kau adik-beradik sedangkan arwah tidak mampu menolong apa-apa. Ingat Qis, setiap yang hidup pasti akan kembali kepadaNya hanya masa yang menentukannya. Masa kita juga pasti akan tiba. Redha ye Qis. Berdoalah untuk ayah kau, Qis semoga rohnya ditempatkan di kalangan para solihin dan semoga kau akan bertemunya lagi di akhirat nanti.” Nasihat Irah apabila melihat Qistina sudah tidak mampu berkata-kata hanya linangan air mata menjadi saksi kesedihannya mengiringi pemergian ayah tercinta.

Dua pekan sudah berlalu. Irah semakin gelisah seperti cacing kepanasan apabila kelibat Qistina tidak muncul-muncul juga. Setiap pagi dia pasti akan menunggu Qistina di lobi bangunan universiti kalau-kalau kelibat Qistina kelihatan di situ tapi hampa. “Mana budak ni. Dia tak nak ambil ‘exam’ ke? Lagi seminggu je tinggal ni. Kuliah dah la banyak tinggal”. Irah mengomel sendirian. Petang itu dia yang menghantar Qistina ke KL Sentral dan Terminal LCC. Mujur ‘flight’ ke Kelantan masih ada.

Sejak itu Irah tidak mendengar lagi khabar berita daripada Qistina. Irah cuba menghubungi Qistina namun telefon bimbitnya dimatikan. “Dila, Qis ada ‘contact’ kau?” Sapa Irah apabila melihat kelibat Adilah, teman sebilik Qistina semasa berlegar-legar di lobi tersebut. “Sejak pagi itu, saya langsung tidak terima sebarang berita daripada Qis”. Balas Adilah. Sebenarnya, berita mengenai kematian ayah Qistina hanya diketahui Irah sahaja. Walaupun Adilah merupakan teman sebiliknya namun dia mendapat berita tersebut setelah dua hari keberangkatan Qistina ke kampung halamannya dan itupun melalui Irah bukan dari mulut Qistina sendiri.

“Semasa Qistina sedang bersiap-siap untuk ke kuliah, tiba-tiba dia mendapat panggilan telefon daripada emaknya. Yang saya pelik lepas je mereka menamatkan perbualan, Qistina terduduk kaku di atas katil. Apabila ditanya dia kata tiada apa-apa. Dia mengelamun panjang sampai saya menyapanya kerana telah terlambat untuk ke kuliah,” Terang Adilah kepada Irah semasa diberitahu khabar mengenai pemergian ayah rakan sebilknya itu. “Ya Allah, tabahnya kau Qistina. Tak sangka aku dalam menerima khabar hiba itu kau masih boleh pergi ke kuliah, tersenyum dan berseloroh denganku sehingga aku sendiri tidak dapat membaca penderitaan yang kau tanggung. Maafkan aku Qis. Aku bukan sahabat yang terbaik buat kau. Maafkan aku” Irah bermonolog.

“Ah tak boleh jadi ni, aku tak boleh diamkan diri sebegini. Apa tanggungjawab aku sebagai seorang sahabat? Takkan sekadar berdiam diri sedangkan sahabat baik yang selama ini banyak membimbingku sedang bermuram durjana. Aku mesti lakukan sesuatu. Sekurang-kurangnya aku tidak merasa bersalah pada diriku kerana membiarkan sahabatku sendirian menghadapi kesusahan. Aku mesti mencari tahu kenapa dia sudah lama tidak pergi ke kuliah.” Irah terus bermonolog dengan dirinya.

Setelah ‘check in’, Irah duduk di suatu sudut tempat menunggu sementara menanti untuk berlepas. Pandangan Irah tertarik pada sepasang suami isteri ‘orang putih’ yang sedang bergurau senda dengan puteri mereka yang dalam perkiraan Irah berusia lima tahun. Terdetik rasa cemburu dalam dirinya apabila melihat telatah manja anak kecil itu sambil bergelak ketawa bersama ibu bapanya. “Apakah khabar mama saat ini? Dah lama aku tak menghubungi mama. Ya Allah, semoga mamaku sentiasa dalam perlindunganMu”. Doa Irah dalam-dalam.Tanpa disedari menitis air hangat di pipinya.

Lamunannya terhenti lantaran terdengar pengumuman petugas yang mengarahkan para penumpang supaya beratur untuk menaiki pesawat. Irah segera menyeka air matanya sambil bergegas mengambil tempat di puluhan manusia yang sedang beratur menunggu giliran. Tidak seperti Qistina, Irah dibesarkan dalam keluarga yang agak mewah. Papanya memiliki sebuah perusahaan perkapalan yang berdiri teguh sehingga hari ini. Tapi sayang, kekayaan dan pangkat tidak menjamin kebahagiaan malah bisa menggelapkan mata dan hati yang mudah goyah dengan hasutan syaitan. Papa Irah sering tidak pulang ke rumah dan meninggalkan mamanya yang sedang berperang dengan penyakit kanser payudara peringkat akhir sendirian di rumah.

“Gila! Berkasih-kasihan dengan perempuan yang hampir seusia dengan anak sendiri. Ah persetan semuanya! Biarlah papa dengan dunianya yang penting aku ada mama! Aku harus tabah untuk mama! Mama perlukan aku!” Bentak hatinya ketika melihat papanya berpegangan tangan bersama seorang perempuan muda yang berusia dalam lingkungan dua puluh lima tahun ketika dia sedang melewati sebuah pusat membeli belah. Ikutkan hati mahu sahaja dia menyerang perempuan tersebut tapi dia tahu itu hanya kerja yang sia-sia malah akan membuatkan dirinya malu. Namun, luluh benar hatinya itu apabila melihat papa yang diharapkan menerajui bahtera rumahtangga di samping memberi semangat buat mama yang sedang berperang dengan maut, berpeleseran dengan anak muda seusia dengan anak gadisnya.




Qistinalah yang selama ini banyak mendorong Irah untuk terus kuat menghadapi ujian hidup yang pastinya tidak akan sepi mendampingi hambaNya. “Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakanku teman sebaik Qistina di saat aku memerlukan tempat untuk mengadu”. Irah melakarkan rasa syukurnya.

“Assalamualaikum”. Irah memberi salam.

Sejurus kemudian, kedengaran orang menyambutnya dari dalam dan dengan perlahan-lahan daun pintu dibuka.

“Wa’alaikumsalam. Oo Irah rupanya. Jemput masuk Irah”.

Wanita dalam lingkungan empat puluhan itu mempelawa Irah masuk sambil menyalami tangan anak gadis itu. “Mak cik sihat? Salam takziah ye mak cik. Irah minta maaf kerana tidak dapat menghadiri pengebumian pak cik tempoh hari”. Irah meluahkan kekesalannya. “Alhamdulillah mak cik sihat. Terima kasih Irah. Takpe makcik faham Irah sibuk. Bakal doktorlah katakan. Irah duduk dulu ye nanti mak cik panggilkan Qistina”. Pelawa mak cik Esah kemudian berlalu ke mana pun Irah tidak tahu.

Dia terus mengamati setiap sudut rumah itu. Sungguh sederhana malah baginya sungguh daif sekali. Kelihatan cahaya menembusi lubang-lubang kecil pada atap zink pondok usang tersebut. “Assalamualaikum Irah. Err..awak..” Sapa Qistina yang agak terkejut dengan kedatangan Irah. Lamunan Irah mati seketika. Dia lalu bangkit dan tanpa berlengah lagi dia terus memeluk erat tubuh Qistina. “Wa’alaikumsalam Qis. Kau sihat?” Irah semakin tidak tegar menahan tangis. Rindu benar dia dengan gadis kacukan Cina itu. “Alhamdulillah. Saya sihat. Awak? “. Sahut Qistina. “Alhamdulillah sihat juga. Tapi kenapa kau dah lama tak ke kuliah? Banyak yang kau dah tertinggal. Minggu depan dah nak ‘exam’. Semua orang risaukan kau, Qis.Banyak kali aku cuba hubungi kau tapi ‘handphone’ kau sentiasa ‘off’. Kenapa Qis?Kau ada masalah ke?”. Bertubi-tubi pertanyaan yang dilontarkan.

“Maafkan saya Irah kerana menyusahkan awak sehingga sampai ke sini awak mencari saya. Maafkan saya”. Qistina tertunduk. Kelihatan manik-manik kaca gugur membasahi lantai kayu kediaman tersebut. “Qis, kenapa?” Irah menggenggam erat jari-jemari Qistina. “Irah maafkan saya. Saya tidak mampu lagi untuk meneruskan pengajian. Saya orang susah Irah. Saya nak berhenti.” Irah tersentak. Mukanya tiba-tiba menjadi merah dan bengis sekali sambil air mata tetap tidak henti-henti mengalir meraikan suasana suram petang itu. “Apa Qis? Kau nak berhenti? Kau ulang sekali lagi! Aku tak dengar!” Irah tiba-tiba menjadi marah.

“Maafkan saya Irah. Saya nak tolong mak saya. Biarlah adik-adik saya yang meneruskan cita-cita saya. Saya tak sanggup melihat mereka berhenti sekolah gara-gara kesempitan hidup yang kami alami. Mereka masih kecil dan tidak seharusnya menanggung penderitaan ini. Jadi biarlah saya yang berkorban. “Qis!Apa yang kau cakapkan ni? Kau sedar ke tak apa yang kau cakapkan ni?Kau tahukan kita tinggal setahun setengah je lagi untuk ‘graduate’? Kau tahukan bukan mudah untuk sampai ke tahap ni tapi senang-senang je kau nak mengalah sekarang! Kau kata nak tolong emak dan adik-adik kau tapi apa yang kau mampu buat? Kelulusan apa yang kau ada? Setakat jual kuih? Kerja kilang? Berapa sangat yang kau dapat untuk membantu adik-adik kau? Cukupkah Qis? Berbanding jika kau bertahan untuk setahun setengah je lagi."

Sambil memegang wajah Qistina, Irah menunjukkan ruang-ruang di rumah tersebut. “Kau tengok ni!Kau tengok atap ni .Mampukah kau mengubahnya menjadi atap genting? Mampukah kau mengubah papan-papan ini menjadi batu? Mampukah kau mengubah kehidupan kau sekarang dengan mengalah sebegini?.Aku tahu Qis, wang bukanlah tujuan utama ‘profession’ ini tetapi sifat kemanusiaan itu sendiri. Kalau kau masih ingat dulu kita sama-sama pernah membina impian ingin berkhidmat untuk agama dan bangsa terutama mereka yang susah. Apa kau sudah lupa?Kalau kau undur diri apalah nasib rakyat kita yang mengharapkan pertolongan kau suatu hari nanti Qis? Lupakah kau kerjaya ini yang kau idam-idamkan sejak kecil? Tidak semua orang berpeluang tapi bila kau dah sampai tahap ni senang je kau nak tinggalkan. Kau pentingkan diri sendiri Qis! Sampainya hati kau nak tanamkan jauh ke bumi harapan emak dan ayah kau!”Irah semakin hilang sabar.

“Qis, aku dah malas nak cakap dengan kau lagi. Aku tak pernah ada sahabat yang cepat benar putus asa! Qistina yang aku kenal dulu sungguh tabah dan tidak pernah mengalah berperang dengan nasib hidup! Kalau profesor dan kawan-kawan tahu pasti mereka gelakkan kau, Qistina! Kau dah lupa kata-kata semangat yang pernah kau ungkapkan sebagai perangsang untuk aku terus bertahan melawan takdir hidup aku? Inikah Qistina yang amat aku kagumi dulu?” Irah terus lontarkan kekesalannya. “Irah, awak tak paham.” Qistina cuba membela diri.

"Dah la Qis, aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku balik dulu. Ambillah nota-nota ni. Kalau kau rasa ianya berguna untuk kau, kau tahu apa perlu kau buat. Aku tak kisah bersusah-payah demi sahabat tapi kalau kau sendiri putus asa dengan nasib kau apa aku boleh buat. Kalau kau rasa masa depan kau, emak dan adik-adik kau masih ingin kau bela, kau bacalah dan aku tunggu kau di dewan peperiksaan minggu depan. Sungguh aku menyesal kerana terlalu mengharap pada orang yang tidak ada matlamat hidup ni. Kau buatlah apa yang kau rasa terbaik!Semoga kau berjaya, Qis. Assalamualaikum”. Irah berlalu tanpa sempat membenarkan sepatah kata daripada Qistina untuk membela diri.

Air mati semakin galak menghujani pipi gebu Qistina. Pilu benar hatinya mengenangkan pengorbanan yang Irah hulurkan tapi berakhir dengan kekecewaan. “Maafkan saya Irah. Saya tak mampu. Maafkan saya”. Qistina menyesali diri sendiri. Sebentar lagi peperiksaan akhir semester tujuh akan bermula. Selepas ini mereka akan bersiap-siap pula untuk menjalani praktikum di hospital yang terpilih. Wajah setiap mahasiswa menampakkan kegelisahan. Ada yang lebam-lebam matanya akibat kurang tidur dan ada juga yang pucat lesu bagai mayat. Maklumlah inilah penentunya setelah bersusah payah selama hampir tiga tahun setengah untuk sampai ke tahap ini. Sesuatu yang pastinya bukan mudah.Segala pengorbanan dan kesungguhan tidak akan disia-siakan demi menggapai impian menjadi tunggak harapan bangsa dan agama. Semua pelajar mendapatkan tempat duduk masing-masing sesuai dengan angka giliran. Irah kelihatan sungguh gelisah dan acap kali juga dia melemparkan pandangan mencari-cari kelibat tubuh Qistina namun hampa. “Aku kecewa Qistina”. Irah tertunduk.

“Baiklah semua pelajar, peperiksaan akan dimulakan lima minit lagi. Sila semak angka giliran dan maklumat yang tertera pada kertas jawapan. Pastikan semuanya betul.” Pesan Prof. Madina kepada pelajar-pelajarnya.

“Prof! Maafkan saya kerana terlambat”. Pinta seorang mahasiswi yang agak kelam kabut dan sesekali dia menarik-narik nafas yang seakan sukar untuk dilepaskan.

Irah mengangkat kepalanya seolah-olah dia kenal benar akan suara tersebut.“Qistina! Alhamdulillah”. Irah menarik nafas lega. Dari jauh, Qistina melemparkan pandangan pada Irah dan mereka berbalas senyuman. “Terima kasih Irah. Kaulah sahabat saya di dunia dan mudah-mudahan di akhirat juga”. Kata Qistina pada Irah semasa keluar dari dewan peperiksaan. “InsyaAllah. Mudah-mudahan ukhwah ini sentiasa dalam perlindungan-Nya dan semoga kita sama-sama dapat menjadi seorang doktor yang beriman dan berbakti kepada masyarakat dan agama. InsyaAllah. Kita boleh!” Kata Irah penuh semangat. “Ya kita pasti boleh! Semangat!!” Sahut Qistina.




your sincerely:-
zinnirah

dedikasi buat jiwa yang senantiasa diuji

Pastinya sahabat semua maklum mengenai rukun iman ke enam yang wajib untuk kita beriman dan beramal dengannya iaitu percaya kepada qada’ dan qadar yakni kepada ketentuan dan sukatan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Soal mati, jodoh, rezeki semuanya telah ditetapkan di Lauh Mahfuzh sepertimana hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi:

‘Suatu hari aku pernah berada di belakang Nabi shallallaahu’alaihi wa sallam lalu beliau bersabda :‘Hai anak, aku akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimat (artinya): Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu, Jagalah Allah niscaya kamu dapati Dia ada di hadapanmu, bila kamu meminta, mintalah kepada Allah, dan bila kamu minta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah bahwa umat, seandainya mereka bersepakat untuk memberimu manfaat dengan sesuatu, niscaya mereka tidak akan dapat memberimu manfaat apa-apa kecuali dengan apa yang telah Allah taqdirkan buatmu, dan seandainya mereka bersepakat untuk mencelakakanmu dengan sesuatu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu sedikitpun kecuali dengan apa yang Allah telah taqdirkan atasmu, pena-pena telah terangkat, dan lembar tulisan pun telah kering.’

Tidak saya berniat untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai qada’ dan qadar, tetapi sahabat boleh klik di sini untuk penjelasan lanjut mengenai rukun iman ke enam ini. Perkara yang ingin saya bincangkan di sini adalah bagaimana kita beramal dengan rukun iman ini.

Iman dan Amal

Acapkali apabila kita di uji kita disuruh untuk bersabar, selain bersabar Allah swt juga menganjurkan untuk kita bersolat (Al-Baqarah:45). Apabila kita bersabar, ia dikatakan sebagai sebahagian daripada iman,pernahkah sahabat persoalkan apakah kaitannya dengan iman?

Sabar dan Iman

Melalui jalan sabar ia membuka pintu untuk kita menerima dan redha pada ketentuan Allah swt yakni rukun iman yang ke enam.Tanpa sabar pastinya setiap diri yang di uji akan melatah dan tunduk pada pujukan dan hasutan syaitan yang durjana. Ketika diri di ujilah,segala bisikan syaitan akan cuba meracuni minda, pelbagai andaian yang timbul, kalaulah begini, kalaulah bagitu sedangkan Rasulullah saw telah bersabda:

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:”Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Hati juga mula merasa gelisah, solat tidak dirasakan khusyuk lagi dan kehidupan seluruhnya menjadi tidak menentu hanya kerana ujian yang menimpa. Maka Allah swt tekankan bahawa ‘sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;’ (Al-Baqarah:45) di dalam ayat yang sama.

Ini kerana apabila merasa beban ujian dari Allah swt semakin sukar dirasakan untuk menghadirkan hati dan memperoleh khusyuk ditambah lagi dengan hasutan syaitan yang semakin rakus cuba untuk melemahkan lagi iman di hati.

Oleh itu, seharusnya kita sentiasa perlu menyedari keperluan untuk beramal dengan rukun iman ke enam ini dan bukan sekadar cukup untuk menghafalnya sahaja dari kecil sehingga dewasa tanpa ada sebarang tambahan nilai kepadanya. Moga dengan itu, apabila kita diduga oleh Allah swt kita sedar dan tidak terjerumus ke lembah yang hina.

Tiada siapa yang dapat lari dari ujian,bezanya adalah bagaimana seseorang hamba itu berdepan dan menghadapi ujian tersebut sepertimana Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

‘Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).’ (Al-Baqarah:214)


Berpegang teguh kepada tali Allah swt

Hanya Allah swt yang mampu memberikan kekuatan kepada hati yang sememangnya dimilikiNya. Maka,apabila kita diuji oleh Allah swt seharusnya kita kembali merintih kepada Maha Pengasih dan bermuhasabah keadaan diri. Jangan pernah berputus asa kerana qada’ dan qadar yang ditetapkan pasti ada hikmahnya kerana Allah swt tidak akan menzalimi hamba-hambaNya sepertimana janjiNya dalam al-quran(Al-Imran:108).

Walaupun hakikat cubaan amat pahit untuk ditelan namun demi kebahagiaan yang lebih hakiki kita perlu untuk terus berpegang teguh kepada tali Allah swt, telusurilah perjalanan Rasulullah saw dan para sahabat yang hanya bertemankan jalan berduri dan bandingkanlah keadaan diri sendiri. Jangan pernah menipu dan mengaku bahawa ‘akulah orang yang paling malang di dunia’ kerana tiada yang lebih malang dari mereka yang jauh dari rahmat Allah swt yang dijanjikan azab yang kekal dan tidak terperi hebatnya.(Al-Imran:177)

Yakinlah ada pelangi di hujung jalan itu

Oleh itu marilah wahai sahabat semua, kita sematkan dan tambahkan keyakinan kita kepada rukun iman ke enam ini. Ketahuilah bahawa syurga yang penuh nikmat kebahagiaan dan kekal selama-lamanya itu hanya dijanjikan kepada meraka yang benar-benar layak sahaja.Dan jalan untuk melayakkan diri ke sana adalah melalui dugaan-dugaan yang diberikan di sepanjang kehidupan ini.

Walau apa jua dugaan yang kalian hadapi, ketahuilah Allah kan pasti sentiasa di sisimu, tersenyum melihat hambaNya yang sering bersyukur dan redha pada qada dan qadar Nya. Maka, tenanglah wahai jiwa-jiwa yang diuji.

Wallahu’alam

Cinta Tersulam Redha

Jangan dikira pasangan yang sudah bercinta sekian lama,saat menikah akan terus mencintai pasangannya. Dan jangan dikira pasangan yang tidak melalui fasa percintaan akan sulit mencintai pasangannya setelah bernikah.

Cinta itu ibarat pohon.Akarnya tumbuh ketika kita mulai berinteraksi dengan pasangan kita.Cinta pun akan bersemi ketika kita mulai menerima segala kelebihan dan kekurangan pasangan kita.Kita sirami dan pupuk ia dengan kasih sayang dan perhatian. Ia akan mekar dan berbuah ranum ketika kita berusaha memberi yang terbaik untuk pasangan kita. Namun ia tidak akan tumbuh begitu sahaja. Ia perlu dirawat dan dijaga dari penyakit dan hama yang menganggu.

Di antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan…’I will marry a stranger!’…Namun aku pasrah…

Jam 8.00 malam


‘Yang mana satu ek…?’

‘Yang itukan?’..

‘Iskh..bukan lah..itu kawan dia’..

‘OOo..ye ke..hurm…. takde beza pun…Mana satu ni?’

‘Aku terima nikahnya Najdatul ‘Iffah binti Umar Faruq dgn mas kahwinnya 80 ringgit tunai….’.

‘‘Iffah dah jadi zaujah!’ Bisik Wafa’ sahabatnya seusai akad itu dan di saat aku menadah tangan berdoa. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun pada hakikatnya hati aku teramat gembira..

Detik-detik ijab kabul itu. Sungguh ia merupakan sebuah momentum sederhana yang memiliki energi potensi dasyat untuk mengubah kehidupan dua anak manusia yang akan menjadi sepasang suami istri. Pernikahan adalah sebuah kerja besar yang menunggu kita.Kita tidak akan lagi merasa bahagia atau sedih sendiri. Malahan sudah tidak boleh melakukan banyak hal dengan menuruti keinginan sendiri. Kini telah hadir seseorang yang mencintai kita dan harus juga kita cintai, yang memperhatikan dan perlu kita perhatikan, tempat curahan hati, berkongsi rasa, canda, tangis, bahagia, susah dan marah. Dan seseorang itu adalah suami yang Allah berikan padaku….

Bila ada keindahan,

Yang mewujud utuh..

Dalam seluruh dimensi..

Dan menyentuh utuh..

Sepenuh rasa di jiwa,

Itulah detik ijab qabul..

Selamanya..

Indahnya nyata..

insyaAllah


“Assalamualaikum!’ sapa satu suara.Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku dan terus menunduk. Ruang di antara para tetamu wanita di hadapanku di buka untuk lelaki tersebut mendekatiku. Aku bertambah gementar…Namun terus menghulurkan tanganku buatnya, lalu disarungkan sebentuk cincin emas ke jari manisku. Kerlipan cahaya dari berbelas kamera membuatku terus berpeluh-peluh. Dia lantas keluar tanpa berkata apa-apa. Mungkin dia segan dan malu, aku menebak. Mana tidaknya, puluhan akhawat memenuhi segenap ruang yang ada di bilik kecil itu.


‘Tak sempat lagi tengok muka dia’

‘Tak sempat ke?Tak berani ke?Ke malu?’ Wafa’ masih tersengih memerli.

‘Semualah sekali. Eh, dia ada kat mana sekarang?’

‘Makan kot…kat luarlah..pergilah tengok,’

‘Tak mahulah. Segan sangat-sangat. Dahlah tak kenal. Dia balik lepas jamuan. Esok akan datang semula’.

Aduhai…

Sahabat-sahabat yang ada geli hati agaknya melihat gelagat ‘Iffah. Mana tidaknya. Muka suami pun tak pernah dilihat Dah akad nikah pun masih belum melihat. Esoklah nampaknya rezekinya di waktu kenduri.

Di malam akadnya itu, dia masih belum bersama suaminya. Orang tua-tua kata tak elok selepas bernikah duduk sekali. Mesti tunggu majlis rasminya keesokan harinya.

Di saat itu dia masih membayangkan wajah suaminya yang hanya dilihatnya lewat gambar foto yang dikirimkan oleh ustaznya, perantara yang menjodohkan antara dia dan suaminya.

Di saat itu juga, memori lama terimbau kembali......

Dia masih teringat di saat dia ditanyakan adakah mahu dia berumah tangga dengan pemuda itu. Oleh kerana kepercayaan yang telah lama dibaja kepada manusia yang sudah lama mendidiknya, ’Iffah menyatakan persetujuannya. Bukan tergesa-gesa, tidak juga tanpa berfikir panjang. Malah, dia telah mempertimbangkannya sejak sekian lama.

Dia sangat mahukan pernikahannya hanyalah semata-mata kerana Allah. Dia mahu tindakannya itu disandarkan kerana Allah. Dia mahu berkarya untuk mengeratkan kasih dan produktif memaknai cinta tanpa mengharapkan balasan manusia, hattakan suaminya sendiri. Dia mahu cintanya itu bersumberkan kecintaan kepada Ilahi. Kecintaan yang benar-benar hidup dan menghidupkan…

‘Iffah sedar keputusannya menyerahkan segala urusan baitul muslimnya (perkahwinannya) pada jemaah untuk mengatur dan memilih pasangan hidupnya membuktikan sedalam mana kepercayaannya pada jemaah dan manusia yang bertanggungjawab menjaganya.

Memasuki alam pernikahan memerlukan akar yang cukup kuat. Ibarat sebuah bangunan, semakin berat beban yang diterima, maka akan semakin kukuh struktur asas yang dibuat. Semakin teliti penelitian yang akan dibuat ke atas bangunan yang di buat. Bukan sahaja pada struktur asas ,tetapi kekuatan pendukungnya yang lain.

Dan semenjak hari itu,setiap detik menjelangnya merambat begitu lambat, di lautan hati yang penuh bunga,senyum bertebaran di wajah-wajah cerah, yang kian berseri.

Seiring makin mendekatnya detik-detik penuh bersejarah itu, ’Iffah,seorang gadis biasa yang fitrahnya manusia, kadangkala tersadung juga. Hampir tergelincir ke lembah yang tidak diingininya. Dia mahu memelihara suci hubungan itu. Biarlah tiada ada noda. Biarlah bahagia itu bermula pada detik pernikahan itu sendiri.



Perbincangan mereka awalnya sangat terpelihara. Hanya sekadar atas urusan yang perlu dan di ‘cc’ kan pada mereka yang selayaknya.

ustaz….Ukhti…

Entah di mana ana harus mulakan…agak segan menulis kata2 walaupun tidak nampak rupa, malu pula untuk menuturkan bahasa di khalayak kalian berdua….Ana pun tidak pasti atas dasar mana ana menulis email ini, yang pastinya, aqidah ISLAM lah yang menghubungkan kita semua, tidak perlu la didetailkan lagi…Ustaz dan ukhti maklum dan jelas di dalam perkara ini insyaAllah.. ..Ana pasti ukhti iffah jelas di atas apa yang telah berlaku sebelum ini, resume telah diterima dan dibaca, boleh kata masing2 faham tidak perlu diterangkan mengapa dan siapa kerna semua itu sudah diserahkan kepada murabbi kita …ana hanyalah insan lemah yang menyerahkan segala yang berlaku kepada Allah s.w.t….semoga Allah berikan yang terbaik buat kita semua….. Tidak lain dari sini, ana hanyalah meminta keizinan menyatakan persoalan dengan tenang kepada ukhti iffah di atas perancangannya di dalam perkara ini, ana perlu lebih jelas tentang apa yang difikirkan oleh enti. …….

Perbincangan sering berlaku lewat email dan ‘yahoo messenger’. Atas alasan untuk menguruskan hal-hal bersangkut paut dengan pernikahan. Namun setelah beberapa kali berhubung sudah muncul pula icon yg mampu menggetarkan hati-hati manusia yang menanti saat yang dirasakan manis itu. Ada juga email yang terlepas dan tidak di ‘cc’ kan pada orang lain. Astaghfirullah! Pada mulanya berchatting sedaya upaya dielakkan. Namun akhirnya ‘Iffah pasrah. Tunduk pada hatinya yang seakan rindu melihat icon senyum itu menyala. Dan akhirnya syaitan itu menang jua. Walaupun tiada bicara yang melekakan. Namun cukuplah ucapan ‘doakan diriku pejuang sejati’ mampu menggetarkan dan mengusik hatinya itu. Entah mengapa saat pernikahannya itu dirasakan terlalu lama.

Thariq zayyad : ok, undur dulu…

‘iffah : ok, jaga diri ..

Thariq zayyad : doakan diriku pejuang ISLAM sejati =)

‘iffah..insyaAllah. . wassalam..

Thariq :wslm wr wbt..

Mungkin berbaur semangat perjuangan, tetapi sebenarnya ia cukup palsu! Sayang sungguh sebagai pekerja islam yang kononnya membina bangunan Islam, tetapi dalam masa yang sama meruntuhkannya. Prinsip-prinsip pergaulan dilanggar, kata-kata walaupun sebentar mampu membuka ruang fitnah. Memang di mata manusia biasa apalah sangat perbuatan itu. Mereka akan berkahwin! Tapi jiwa orang mukmin yang sensitif, yang peka dengan maksiat-maksiat kecil, dia tahu perbuatannya itu tidak diredhai oleh Allah swt. Cepat-cepat dia beristighfar. Biarlah dia bersabar asalkan pernikahannya nanti adalah suci.

Alhamdulillah, Allah tidak membiarkan ia berlaku lama. Akhirnya ada yang dapat menghidu dan menegur. Aduh..malu sungguh dirinya pada Allah! Dirinya sering dianggap hebat dan cukup tsiqah (baca : dihormati) tetapi kalah pada naluri rindunya. Walaupun sekadar icon =) namun dia merasakan itu satu noda besar untuknya!

Ruang dialog hati,

dalam kesedaran cinta ilahi,

sebagai sebenar-benar cinta.


Kita membangun sebuah pernikahan kerana cinta kita kepada Allah. Kita ingin selalu menyempurnakan cinta itu maka kecintaan kepada Allahlah adalah yang lebih utama perlu kita perhatikan demi kelangsungan pernikahan kita di dunia dan akhirat. Tentunya kita tidak ingin membawa pernikahan kita semakin jauh dariNya kerana peluang. Kita mudah terbawa arus lantaran selalu sebuk dan lalai dengan pernikahan itu. Mudah lari dari syariatnya.. Midah tertipu zahirnya dalam kebaikan. Kerana itu, kita perlu membangun sebuah komitmen denganNya dahulu sebelum menjalin komitmen dengan pasangan hidup kita…


Cinta bukan kerana keindahan yang tampak di mata..

Tetapi kerana yang menyatukan hati dan jiwa…


Akhirnya, segalanya ditinggalkan kerana Allah. Dia tidak sanggup lagi membiarkan fitnah berlaku ke atas hatinya. Komitmen dengan Allah swt dibutuhkan kerana dia bertekad membangunkan mahligai rumah tangga semata-mata mencari ridhaNya. Ingin membangunkan mahligai pernikahan dengan nuansa cintaNya dan cinta kepadaNya….

kala cinta bertanya pada cinta..

imanlah jawabnya..


Azan subuh yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan . Tidak disedari masa berlalu begitu cepat sekali. Kedengaran diluar suasana kelam kabut…bunyi kaca dan suara saudara mara hiruk pikuk di luar.

Baru aku teringat, hari itu adalah kenduri walimahku setelah akad semalam. Aku tersenyum sendirian. Di manakah suamiku? Bilakah dapat aku menatap wajahmu duhai kekasih?


Di sini teduh hadir kukuh,

Di kelopak cerah segala bunga,

di pucuk-pucuk hijau segala rasa..


Alhamdullillah, kenduri berjalan dengan lancar hari itu. Ramai sungguh teman-teman yang hadir mengucapkan tahniah dan menyerikan lagi suasana. Aku sempat mencuri pandang ke arah suamiku. Itupun setelah disuruh oleh sahabatku. Mana tidaknya seorang di hulu, seorang ke hilir. Penat sungguh sanak saudara menyuruh kami berjalan berdua-duaan. Sungguh aku tak mampu menahan getaran hatiku berada di samping seorang lelaki asing yang tak pernah kukenal mahupun kulihat! Namun hatiku pasrah dan menerima seadanya. Biarlah proses taaruf kami berjalan selepas ini. Dan insyaAllah kami akan mengenali keluarga besar masing-masing juga. Biarlah hari ini kami kelihatan seperti dua makhluk asing pun!

Mulai detik itu, kami melayari bahtera ini dengan keindahan dan kecintaan yang sebenar. Benarlah apabila syariat dipatuhi, manisnya pernikahan itu benar-benar dirasai. Di saat itu kisah cinta agung Khadijah r.a dan Muhammad saw kita selusuri. Betapa suburnya pohon cinta itu, akar-akarnya menghujam di hati, batangnya kukuh, rantingnya menjulang ke langit, daunnya rimbun, buahnya ranum,menaungi dan memberi kebahagiaan kepada sepasang jiwa.

Benarlah… nyata pernikahan juga memerlukan keperluan emosional yang tinggi. Hubungan dua insan yang saling memahami, empati, toleransi dan motivasi. Perlunya ada penyelarasan dan keselarian emosi. Tambahan lagi ketika awal pernikahan, banyak saat-saat yang cukup terduga, oleh itu sabar dan iman harus diutamakan. Penyelarasan ini tidak akan terjadi serta merta, seperti antena radio atau tv yang perlu diputar-putar untuk mendapat gelombang yang betul, maka penyelarasan antara dua jiwa ini juga memerlukan banyak percubaan. Ini akan terjadi sepanjang pernikahan kita hingga ke akhir hayat. Sabar dan syukur memudahkan kita memandang segala permasaalah kita dengan jiwa yang jernih…

Aku benar-benar bersyukur atas apa yang dianugerahkan padaku hari ini. Sungguh tidak ternilai cintaNya padaku….


‘ Ya Allah. dimana lagikah dapat ku temui cinta sejati..

kecuali pada cintaMu..

ke mana lagikah hati ini harus berlabuh..

kecuali pada kasihMu..

Jadikanlah hati yg lemah ini yaAllah..

tertambat kukuh hanya padaMU..

Aku mohon redha atas segenap keputusanMu

kesejukan setelah matiku..

kenikmatan memandang wajahMu..

dan kerinduan untuk berjumpa denganMu..

Ampunilah diri ini yang tidak beharga Ya Allah ..

Penuhilah kehinaannya dengan keindahan maghfirahMu’



your sincerely:-
zinnirah

MUSLIMAH YANG DIKASIHI

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Peliharalah auratmu walau dimana kau berada. Jangan biarkan keindahan dirimu menjadi tatapan lelaki yang bukan mahrammu.

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Pelihara solatmu, tundukkan pandangan matamu dihadapan lelaki yang bukan milikmu. Kelak engkaulah yang bertuah ketika menjadi tetamu Allah. Moga-moga dirimu disambut penuh kasih oleh Bidadari Syurga Ainul Mardhiah.

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Berakhlaklah dari panduan Rasulmu, contohi dan ikutinya. Pasti engkau yang bahagia. Sejuk mata memandang bercahaya dunia dengan hiasan muslimah solehah sepertimu.

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Jadikanlah dirimu seperti permata yang berharga dicelah kaca. Ikuti perintah agama, jauhi larangannya.Al-Quran panduan hidupmu, Hadith jadi sumber rujukanmu.

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Jangan biarkan dirimu hanyut dengan arus kemodenan tanpa bekalan ilmu didada. Renungilah masa depanmu, tetapkan iman didada. Moga ia menjadi perisai buat dirimu.Jangan kail panjang sejengkal lautan dalam hendak diduga.

MUSLIMAH YANG DIKASIHI......
Nilai cintamu hanya pada Allah yang satu, kasihi Tuhanmu redhalah Islam menjadi agamamu, pasti tiada kecewa buatmu. Kelak satu hari nanti ada insan yang menantimu.

Berkat kasihmu pada Allah yang satu pasti itulah insan yang menjadi cintamu didunia wasilah dari Allah. Moga bertambah redha Allah padamu, melimpah kasihNya padamu kerana engkau meletak kasihmu padaNya dahulu sebelum cinta pada kekasih yang menjadi pilihan hatimu........






your sincerely:-
zinnirah

Sunday, February 7, 2010

kuliah al-lugah waddin

masuk kuliah 7-1-10


kenangan
-hari orientasi
-pilihanraya majlis perwakilan pelajar(mpp)
-konvesyen pelajar islam pahang


kepimpinan
persaingan
biah solehah

your sincerely:-
zinnirah

50,000 remaja Melayu mohon murtad?



Baru-baru ini, seorang ustaz dari Jabatan Agama Islam di salah sebuah negeri di Malaysia, telah menyampaikan ceramah di Seremban mengenai Maulidur Rasul. Beliau menceritakan di kala umat Islam di Malaysia sedang meraikan Maulidur Rasul, pada masa yang sama, beliau mendakwa 50,000 remaja Melayu di Lembah Klang sedang membuat permohonan untuk murtad.

Kes-kes murtad sebelum ini dianggap satu kes yang sensitif di mana ianya tidak dibincang secara terbuka dan statistiknya tidak didedahkan kepada umum. Mengapakah isu murtad ini tidak dibincang dengan fikiran yang terbuka di kalangan umat Islam?

Hanya yang kita dengar, cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama akan menggugat kepentingan umat Islam di Malaysia ini. Antara cadangan yang dikemukakan ialah permohonan murtad haruslah diuruskan oleh mahkamah sivil dan tidak perlu diproses oleh mahkamah syariah seperti yang berlaku sekarang ini.

Mengapa kita, pada satu sudut, memandang negatif terhadap kumpulan yang pada tanggapan kita, akan lebih menggalakkan lagi gejala murtad, sedangkan kita tidak pernah mengkaji mengapa angka murtad semakin hari semakin membimbangkan?

Pihak berkuasa agama Islam haruslah mendedahkan statistik murtad ini kepada umat Islam di Malaysia kerana gejala murtad ini boleh merosakkan institusi keluarga Islam lebih teruk daripada gejala sosial dan dadah.

Ada yang mengatakan bahawa rata-rata remaja Melayu keluar daripada agama Islam bukan kerana mereka percayakan kebenaran agama-agama lain, tetapi hanyalah sekadar mereka tidak gemar untuk mengamalkan Islam, suka hidup bebas, suka meminum arak dan bermain judi.

Mungkin ada pula yang memikirkan terdapat terlalu banyak sekatan dalam agama Islam itu sendiri. Ini jelas terbukti apabila khutbah dan ceramah di masjid di Malaysia ini, perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ini menyebabkan para khatib bukannya berkhutbah seperti yang sepatutnya, akan tetapi hanya sekadar membaca teks khutbah yang mana ini boleh dilakukan oleh kebanyakan orang.

Bagaimana mereka hendak tertarik pada Islam apabila khatib tidak pandai menyampaikan khutbah mengikut isu semasa dan keadaan setempat. Bayangkan isi khutbah yang di bandar turut sama dibaca di tanah-tanah rancangan, sedangkan keadaan di bandar tidak semestinya sama dengan di luar bandar.

Ini berlainan sekali dengan agama lain. Kita dapati tiada larangan dan halangan untuk pendeta mereka untuk memberikan ceramah. Sudah pasti ada remaja Melayu yang tertarik kerana senario begitu berbeza sekali apabila pendeta bebas dan petah berceramah dalam perjumpaan mingguan, sedangkan khatib kita hanya boleh berceramah menggunakan teks yang diluluskan.

Maka tidak harianlah pada hari Jumaat, apabila khatib sedang berkhutbah, ada sahaja para jemaah yang tersengguk-sengguk menahan ngantuk ataupun mungkin ada yang terlena terus sehingga badan membongkok dan dahi hampir mencecah bumi.

Segala permasalahan yang melanda umat Islam sekarang ini haruslah berbalik kepada al-Quran dan Sunnah serta sentiasa mendapatkan nasihat para ulama. Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid dan surau kita tidak dimakmurkan?

Bagaimana kita hendak membendung gejala murtad ini jika masjid-masjid hanya dijadikan tempat tarikan pelancong serta dihiasi dengan pelbagai perhiasan yang terkini, sedangkan ianya sepi daripada para jemaah yang mendirikan solat lima kali sehari semalam?

Marilah kita menghidupkan kembali sunnah Rasulullah SAW. Penuhkanlah masjid setiap kali solat lima waktu dan bukan hanya pada hari-hari kebesaran atau bukan hanya apabila ada pemimpin kerajaan datang berkunjung, barulah jemaah serta jawatankuasanya mula menampakkan wajah di masjid.







your sincerely:-
zinnirah

::Halwa Telinga::

Bloggers Chat Room

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...