~semoga mereka dirahmati Allah~

Dimulakan dengan....

Photobucket

Saturday, September 26, 2009

Tanda-tanda Taubat Diterima ALLAH



Seorang ahli hikmah ditanya mengenai taubat. Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah,kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu: 

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila dia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis. 

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih daripada mendekati mereka-mereka yang fasik. 

3. Bila dia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah. 

4. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikit pun dia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah. 

5. Sungguhpun sedikit rezeki yang dia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit. 

6. Bila dia melihat pada dirinya yang sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.

 

Sama-samalah kita memperbanyak lafaz istighfar memohon keampunan kepada Allah yang Maha Pengampun. Semoga dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, kita semua akan tergolong di dalam golongan mereka yang mendapat maghfirah Allah ta'ala.Insya Allah.-editor.

Dihantar oleh : madihah nur ISLAM

Terhebat

Di kesibukan sebuah kota yang terkenal dengan kehandalan di medan peperangan, terdengar hingar-bingar orang di sana sini menjaja apa sahaja yang mereka ada. "Murah-murah...lembing ini kayunya kayu kokka, terkenal khasiat zaman berzaman, runcingnya besi tembaga, tikaman pasti ke kuburan...!!" "Mari-mari beli ini pedang, sekali hayun terbelah dua, acapkali diguna sang badang, buat senjata memburu naga...!!" Demikian berpantun-pantun mereka menjaja alatan senjata untuk kegunaan pemuda perajurit di medan pertempuran. Di tengah-tengah kebingitan itu, lalu seorang hamba Allah yang warak sedang memerhatikan gelagat manusia. Akhirnya terpaut hatinya pada seorang lelaki yang menjaja alatannya tadi. "Mari-mari datang ke sini, andai terlepas pastinya rugi, hamba kembara seluruh negeri, menjaja hanya pada yang sudi." "Di tangan kanan hamba perisai sakti, dicurah air gunung Indera puri, menahan segala yang dengki, tiada tercalar merekah apatah lagi." "Pedang keramat di tangan kiri, disadur racun berbisa sekali, membelah sebarang sudahlah pasti, boleh mencuba kalau berani." Pendek kata, lelaki ini mempromosikan pedangnya yang dikatakan mampu membelah apa sahaja, dan perisainya yang mampu menahan apa sahaja serangan. Terpaku orang ramai mendengar kehebatan kedua-dua senjata itu, tapi hendak memilikinya bukan kemampuan kerana harganya melampaui jangkauan, hanya yang mampu mereka yang hartawan. Ketika orang ramai masih kagum dengan kehebatan senjata itu, hamba Allah yang warak itu keluar daripada kelompok orang ramai dan tampil ke hadapan berjumpa dengan lelaki tersebut. Dia berkata "Saudara, jika benarlah seperti yang digembar-gemburkan itu, maka cubalah belah perisai saudara dengan menggunakan pedang di tangan yang satu lagi itu." Ungkapan hamba Allah ini membuatkan lelaki ini terdiam, dan sedikit demi sedikit orang ramai meninggalkan dia yang tersentak di situ. Moral : Jangan bermanis mulut sehingga berlebihan dalam mengkhabarkan sesuatu perkara

your sincerely:-

zinnirah

Saturday, September 19, 2009

Saturday, September 12, 2009

CINTA ANTA & ANTI

DI PETIK DARI MAJALAH I,KELUARAN FEBRUARI 2006,

PENULIS IALAH:USTAZ MASZLEE MALIK...


'CINTA ANTA & ANTI...'


Cinta Remaja Dakwah.

Sebagai seorang pensyarah di IPT yang bergelar ustaz, penulis mempunyai
peluang yang menarik untuk bercampur dengan para pelajar yang menempuh zaman
muda belia mereka. Pelbagai masalah, isu dan juga pengalaman yang mereka
bawa untuk dibincangkan. Antara perkara yang sering dibawa berbincang ialah
persoalan cinta. Alaf yang serba unik telah menyaksikan bagaimana para
remaja dan belia dakwah tidak dapat lari dari fenomena cinta. Menariknya,
cinta yang mereka alami ini telah di"Islamik"kan seperti mana bank-bank,
institusi-institusi kewangan lain diislamkan. Maka timbullah istilah "Cinta
ukhwah". Ayat-ayat dan hadis-hadis sering dijadikan alat untuk
menjustifikasikan apa yang dilakukan. Menarik lagi gejala ini menular di
kalangan mereka yang berkopiah, berserban, bertudung litup, naqib-naqibah
usrah dan mereka yang menggunakan ganti nama "ana - anta dan ana - anti".

Sms,Yahoo Messenger, email dan lain-lain kemudahan perhubungan era ICT telah
menjadi penghubung utama cinta "anta-anti" ini. Ia lebih selamat, kerana
tidak perlu berdating seperti pasangan yang tidak Islamik. Tidak perlu
membazir tambang teksi, tambang bas dan juga membazir membeli kertas kajang
berbau wangi dan dakwat yang berwarna-warni seperti mana halnya anak-anak
muda lain yang jauh dari arus kebangkitan Islam. Bermula dengan kata-kata
tazkirah, berakhir dengan ikon senyuman, teddy bear dan kadang-kadang gambar
wanita bertudung.

Malah ada yang menjadikan kehadiran di seminar-seminar, kursus-kursus dan
juga wacana-wacana ilmiah sebagai peluang untuk berjumpa. Bagi yang aktif
berpersatuan pula, mesyuarat-mesyuarat dan aktiviti-aktiviti persatuan
sering menjadi medan pelepas rindu. Alahai...kreatif betul anak-anak muda
dakwah alaf baru ini.

Fenomena yang berlaku ini dimeriahkan dan dikosmetikkan lagi oleh
nasyid-nasyid Melayu yang berpaksikan cinta muda-mudi. Klip-klip video
nasyid pun, tajuk-tajuk yang bombastik berbau cinta asmara. Hakikatnya,
fenomena cinta "anta-anti" ini semakin ketara dan semakin rancak. Ada yang
berakhir dengan perkahwinan, dan ada juga yang kecewa di pertengahan jalan,
dan tidak kurang juga yang telah menjerumuskan kedua-dua pasangan ke lembah
maksiat. wal'iyadhubillah...

Salah Faham ukhwah fillah
Teringat juga penulis kepada satu fenomena apabila seorang siswi datang
mengadu dia diusik oleh Pak Lebai. Bukan sekadar sms, kad ucapan hari lahir,
kad hari raya, malah sejambak bunga ros di hari lahir juga telah dikirimkan
oleh Pak Lebai tersebut.Tidak tahulah penulis apakah tanggapan masyarakat
terhadap fenomena seumpama ini. Yang pasti di setiap kad, sms dan di
jambangan bunga tersebut terukir kata-kata "ukhwah fillah kekal
abadi..".sekali lagi makna ukhwah disalah gunakan.

Satu kes yang lain pula, seorang siswa meluahkan kekecewaannya apabila
dihampakan oleh seorang siswi yang satu "jemaah" dengannya. Beliau tidak
sangka setelah berpuluh-puluh minggu mereka bertukar-tukar sms dan tazkirah
melalui email, akhirnya siswi tersebut bertunang dengan orang lain yang juga
satu "jemaah" dengan mereka.Aduh..lagi hebat daripada filem "Love Story"
yang pernah popular di tahun-tahun 70'an dahulu. Yang pasti, sekali lagi
tema "ukhwah fillah" menjadi "camouflagde" ke atas perhubungan antara dua
jantina yang ada kesedaran Islam ini.

Dalam satu insiden yang lain pula, seorang siswi pernah meminta pendapat
penulis. Seorang seniornya yang sedang menuntut di dalam IPT yang sama
dengan beliau telah bersungguh-sungguh melamarnya. Walaupun telah ditolak
lebih 20 kali, namun si teruna terus melamarnya juga.Sekali lagi slogan
"ukhwah fillah" menjadi lapik dan dijadikan bahan ugutan. Jika si siswi
tadi menolak lamarannya, maka hatinya akan hancur, dan ia bertentangan denga
mafhum hadis tadi. Oleh kerana bersimpati dengan si senior tersebut, si
siswi terpaksa menerima lamaran itu. Menarik bukan "trend" percintaan
golongan anta-anti ini.

Seorang siswa juga pernah meluahkan kemarahannya ke atas naqib usrahnya di
bilik penulis. Mengapa tidak, tatkala di dalam usrah, berkepul-kepul dalil
dan fikrah yang dibawanya. Sampaikan ketika pertukaran ke usrah lain, si
naqib meminta siswa tadi agar berbai'ah untuk kekal di dalam perjuangan dan
tidak menyertai jemaah lain. Sayangnya, di dalam perjalanan balik kampung,
siswa tersebut nampak sang naqib berjalan berpegangan tangan dengan naqibah
sekelas mereka...ini yang paling menarik.Lebih hebat lagi, kedua-dua mereka
lengkap dengan aksesori berkopiah dan bertudung litup. Jika di zaman 70'an
dahulu nescaya apa yang dilakukan oleh sang naqib dan naqibah tersebut bakal
menerima cop "kafir" dari pendukung gerakan dakwah yang lain.

Di satu sudut yang lain pula, seorang siswa yang sering menceritakan
kehebatan "Abuya"nya kepada penulis, juga tidak dapat lari dari fenomena
cinta anta-anti ini. Penulis amat kagum dengan siswa yang sering muncul
dengan baju Melayu berkancing dan juga songkok berwarna-warninya ini.
Matanya yang bercelak sahaja sudah cukup untuk rakan-rakan yang lain hormat
kepada beliau. Sayangnya atas takdir Allah, ketika penulis berkunjung untuk
menziarahi beliau, penulis ternampak gambar seorang Muslimah menghiasi
desktop komputer peribadinya. Ditanyakan sama ada itu adik, kakak ataupun
emaknya atau mungkin neneknya, beliau menafikan. Beliau terpaksa mengaku
bahawa itu adalah "kawan"nya. Yang hebatnya,
tertulis di sebelah keayuan wajah gadis tersebut "ukhwah fillah membawa ke
Jannah".

Persoalannya, adakah fenomena ini sihat? Adakah ia sudah cukup islamik? Atau
penulis yang ketinggalan zaman sehingga naif terhadap trend muda mudi masa
kini? Ataupun fiqh Islamiyy juga perlu diubahkan untuk disesuaikan dengan
perubahan semasa. Di dalam artikel yang terhad ini, penulis tidak berhajat
untuk memberikan hukuman mahupun pandangan terhadap fenomena yang menarik
ini. Biarlah para pembaca membuat penilaian mereka terhadap "sihat" atau
tidak sihatnya budaya ini. Semoaga ada di kalangan pembaca yang akan dapat
memberikan pandangan yang rasional serta boleh diwacanakan.

Wallahu'alam..




your sincerely:-
zinnirah

Friday, September 11, 2009

Beruntunglah Bagi Mereka Yang Asing



SATU PERKONGSIAN BERSAMA..


Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: 

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” 
[Hadith Muslim no. 145] 

Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah. Masakan tidak. Islam datang menongkah kebiasaan. Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia. 

Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan. Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan. Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan. 

Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan. Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut. 

Itulah nasib Islam di awal zamannya. Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya. Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda SAW dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman. Mereka ganjil bukan sebab mereka salah. Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai.

Firman Allah SWT: 

“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” 
[Hud 11: 116] 


Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti. Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan. Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup. 

Mereka inilah GHURABA! Kerana itulah Rasulullah SAW bersabda: 

“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini” 
[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani] 

Baginda ditanya, 

“Siapakah orang-orang yang asing itu?”

Baginda menjawab, 

“Iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak” 
[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani] 

Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, 

“Iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia” 

Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, 

“Mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya” 

Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam? Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah anda berasa seperti itu? 



Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, anda yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah anda mengalami pengalaman seperti itu? 

Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu? 

Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa? 

Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini? 

Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. 

Tooba lil Ghurabaa’! 

Firman Allah SWT: 

“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. 
[al-An’aam 6: 116] 

Allah SWT juga menyebut: 

”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)” 
[Yusuf 12: 103] 

Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi: 

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” 
[al-Maa’idah 5: 49] 

Allah SWT memberikan peringatan di dalam al-Quran: 

“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” 

[Yusuf 12: 38] 




Bersabarlah jika anda dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada anda memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini. Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran. Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan. 

Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “Apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini” 
[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Namun, Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing. Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam. Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan. 


Suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya tentang maksud firman Allah SWT: 

“Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan” 
[al-Maa’idah 5: 105] 

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda: 

"Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama” Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?” Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu” 
[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain] 


Ya, bagi kita yang bersabar dengan tekanan dipandang asing kerana mempertahankan Islam, ganjarannya ialah seperti ganjaran 50 orang sahabat. Sebabnya jelas, pengalaman yang sama turut dirasai oleh sahabat di awal permulaan Islam. Islam asing di zaman permulaannya. Islam kembali asing di zaman kemudiannya. Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


 
your sincerely:-
zinnirah

::Halwa Telinga::

Bloggers Chat Room

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...